suria

AUG: Kontinjen Negara Lepasi Sasaran Emas

VIENTIANE: Kontinjen negara melepasi sasaran pungutan pingat emas apabila meraih 39 pingat emas, 25 pingat perak dan 37 pingat gangsa pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) yang memasuki hari kelima.

Kontinjen negara mencapai sasaran pingat emas ke-36 menerusi perenang kebangsaan Khoo Cai Lin dalam acara 800 meter gaya bebas wanita yang berlangsung di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Nasional dekat sini.

Pada Isnin, kontinjen negara terus menguasai carta kedudukan pingat dengan menambah 10 pingat emas, empat perak dan 10 gangsa.

Secara keseluruhan, Malaysia terus meninggalkan Vietnam di kedudukan kedua dengan 31 pingat emas, 18 perak dan 15 gangsa diikuti Thailand dengan 22 pingat emas, 30 perak dan 22 gangsa.

Ketua kontinjen Malaysia Profesor Dr Yahaya Ibrahim berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian atlet negara yang terus membuat kejutan dan meletakkan sasaran kedua iaitu 45 pingat emas bagi edisi kali ini.

"Kita capai sasaran 36 emas, saya optimis kita mampu capai 45 emas iaitu sasaran kedua kontinjen negara. Saya yakin dalam tempoh sehari dua ini, kita akan capai sasaran itu.

"Renang dan olahraga banyak membantu pasukan kontinjen negara mencapai sasaran. Kita juga tidak jangka acara silat turut menyumbang dua pingat emas," katanya kepada pemberita di sini.

Acara sukan yang menyumbang pingat hari ini ialah renang (empat pingat emas, satu perak dan satu gangsa; pencak silat (dua emas, dua perak dan dua gangsa); olahraga (dua emas dan dua gangsa), memanah (dua emas, satu perak dan tiga gangsa) dan judo (dua gangsa).

Temasya dwitahunan itu akan berakhir pada 20 Dis ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain