suria

Bryan Lega Dapat Bertanding, Tekad Sumbang Pingat Emas

VIENTIANE: Penerjun negara Bryan Nickson Lomas menarik nafas lega apabila mendapat lampu hijau untuk bertanding dalam acara 1 meter papan anjal individu lelaki pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2012 di sini.

Bryan berkata beliau tetap berpuas hati akhirnya dapat menyertai rakan sepasukan untuk menyumbang pingat buat negara dalam penampilan sulung di temasya dwitahunan itu.

"Saya berpuas hati akhirnya dapat juga bertanding dalam satu acara daripada tidak bertanding langsung. Mula-mula dapat tahu yang acara saya mungkin dibatalkan, terkilan juga.

"Sasaran saya ialah pingat emas, pada hari pertandingan nanti (yang penting) ialah fokus dan tidak melakukan kesilapan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Selain Bryan, Leong Mun Yee akan mengambil bahagian dalam acara 10m papan anjal individu wanita dan 1m papan anjal berpasukan wanita bersama Cheong Jun Hoon. Seorang lagi penerjun kebangsaan, Ng Yan Yee akan mengambil bahagian dalam acara 3m papan anjal individu wanita.

Misi meraih pingat emas pertama bermula esok di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Nasional di sini.

Baru-baru ini, pihak penganjur dilapor akan membatalkan tiga daripada enam acara terjun yang disertai Bryan kerana kurang penyertaan.

Pengurus pasukan, Ariffin Mohammed Yusof berkata penganjur bersetuju mempertandingkan acara 1m papan anjal individu lelaki namun acara 3m papan anjal individu lelaki dan 10m papan anjal individu lelaki dibatalkan.

"Kita yakin skuad terjun mampu menyapu bersih empat pingat emas yang dipertandingkan. Timbulnya masalah ini berpunca daripada tiada penyertaan negara lain, dan alasan mereka kerana tiada jurulatih yang profesional serta atlet yang bagus," jelas Ariffin.

Selain Malaysia, negara lain yang menghantar pasukan dalam acara terjun ialah Indonesia, Filipina dan Laos selaku tuan rumah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain