suria

Zafarul Nafi Langgar Perlembagaan PABM

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Zafarul Akhbar Kassim pada Jumaat menafikan laporan bahawa mesyuarat exco badan induk sukan itu akan diadakan hujung minggu ini bagi membincangkan tarikh sesuai mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

Beliau berkata berlaku salah faham kerana beliau tidak pernah menetapkan tarikh bagi mengadakan mesyuarat exco berkenaan.

"Saya tahu undang-undang dan perlembagaan PABM, jika saya melanggarnya sudah pasti saya akan dikenakan tindakan oleh pihak Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

"Sebagai presiden, saya tidak akan membuat keputusan yang melanggar perlembagaan (PABM) yang telah ditetapkan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Zafarul mengulas kenyataan Penolong Setiausaha Kehormat PABM, Ahmad Janius Abdullah dalam sebuah akhbar hari ini yang dikatakan mempersoalkan kenyataannya (Zafarul) yang mencetuskan tanda tanya majoriti anggota exco badan induk angkat berat itu.

Ahmad Janius dilaporkan berkata jika mesyuarat exco itu diadakan hujung minggu ini, presiden PABM itu sudah melanggar peraturan perlembagaan badan induk sukan berkenaan kerana mengikut peraturan, notis bertulis mengenai mesyuarat perlu dikeluarkan tujuh hari lebih awal.

Zafarul berkata beliau akan mengumumkan tarikh mesyuarat exco itu selepas mengadakan perbincangan dengan anggota jawatankuasa badan induk itu dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, beliau berkata pelantikannya sebagai presiden PABM adalah mengikut suara majoriti.

"Jika ahli masih menaruh kepercayaan kepada saya, tidak menjadi masalah bagi saya terus berkhidmat dalam PABM. Tidak kira sama ada saya kekal sebagai presiden atau tidak...pembangunan sukan angkat berat tetap menjadi keutamaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain