suria

Filipina Dan S'pura Seri Tanpa Jaringan Pada Aksi Separuh Akhir Pertama

KUALA LUMPUR: Filipina gagal mengambil kesempatan mengutip mata di gelanggang sendiri apabila seri tanpa jaringan ketika menentang Singapura pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2012 di Stadium Memorial Rizal, Manila, Filipina, malam Sabtu.

Keputusan itu meletakkan Filipina di laluan tertekan untuk memburu tiket ke final apabila bertandang ke Singapura pada Rabu depan untuk perlawanan timbal balik.

Bagaimanapun, Singapura hanya perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal menyempurnakan beberapa peluang termasuk sepakan percuma dari jarak 15 meter oleh Mohamad Khairul Amri Mohd Kamal pada minit ke-48.

Penyerang naturalisasi skuad 'The Lions' Aleksandar Duric hampir menjaringkan gol awal untuk pasukan Singapura pada minit ke-54 namun tandukan beliau hasil hantaran kapten pasukan, Shahril Ishak sedikit tersasar dari pintu gol Filipina.

Dua percubaan pasukan Filipina masing-masing daripada Angel Guirado dan Paul Mulders pada minit ke-60 dan 72 turut tidak membuahkan hasil sehingga tamat perlawanan.

Keputusan berkenaan dijangka memberi kelebihan kepada skuad Singapura yang dibimbing oleh Radojko Avramovic kerana kedua-dua pasukan bakal beraksi di atas padang rumput tiruan di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Rabu ini untuk aksi timbal balik.

Dalam satu lagi saingan separuh akhir pertama, Malaysia akan menentang juara tiga kali Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam Ahad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain