SHAH ALAM: Peserta karate R.Loganeshaa Rao dan pemain boling Zandra Aziela Ibrahim Hakimi dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Selangor bagi 2011, malam Isnin.
Mereka masing-masing menerima wang tunai RM5,000 serta trofi yang disampaikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada majlis Anugerah Sukan Selangor 2011 di sini.
Loganeshaa, 23, memenangi satu pingat perak pada Kejohanan Karate Asia di Guangzhou, China serta masing-masing satu pingat emas dan perak di Sukan SEA Indonesia.
Beliau turut merangkul satu pingat emas pada Terbuka Basler, Switzerland.
Sementara itu, Zandra, 26, mencipta keputusan yang menakjubkan dengan memenangi emas Masters pada Kejohanan Terbuka Boling Antarabangsa Canon Malaysia dan Terbuka Antarabangsa Basankararcelona.
Pada Sukan SEA di Indonesia, Zandra memenangi satu pingat emas dan dua gangsa. - BERNAMA


