suria

Ultras Malaya Cadang Berkereta Api Ke Bangkok

KUALA LUMPUR: Penyokong setia Harimau Malaya, Ultras Malaya bercadang menaiki kereta api dari Kuala Lumpur ke Bangkok bagi memberi peransang kepada skuad negara pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki menentang Thailand, 13 Disember ini.

Jurucakap Ultras Malaya, Lekir Ahmad berkata cadangan itu adalah usaha kelab berkenaan menarik seramai mungkin penyokong bola sepak tempatan memenuhi Stadium Supachalasai yang boleh menempatkan kira-kira 19,000 penonton.

"Kita bercadang mengumpul ahli Ultras Kuala Lumpur, Ultras Seremban dan Ultra Perlis bagi memeriahkan suasana dan memberi sokongan kepada pasukan negara," katanya kepada Bernama, Isnin.

Lekir berkata Ultras Malaya akan terus memberi sokongan padu kepada Harimau Malaya sehingga kempen Piala AFF Suzuki 2012 berakhir, tanpa mengira apa jua keputusan pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

"Kita tidak boleh fikir sangat risiko kekalahan sebaliknya perlu yakin bahawa Harimau Malaya akan menang pada perlawanan Ahad ini dan perlawanan berikut," katanya.

Sementara itu, Ultras Malaya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Jasuky Jahury Jaafar, 36, yang meninggal dunia selepas menonton perlawanan akhir peringkat kumpulan B antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lepas.

Pada perlawanan tersebut, Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 dan mara ke separuh akhir apabila menghuni tangga kedua kumpulan B di belakang Singapura. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain