suria

T-Team Ambil Caleb Folan Untuk Musim Depan

KUALA TERENGGANU: T-Team mengikat kontrak selama setahun pemain kelahiran England, Caleb Folan untuk mengisi barisan serangan mereka musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rashid Jusoh berkata pemilihan pemain berusia 30 tahun itu adalah hasil pencarian jurulatih Peter James Butler yang juga pengurus pasukan.

Folan merupakan pemain antarabangsa Ireland dan pernah menyertai kelab Colorado Rapids, Amerika Syarikat dan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Leeds United, Hull City, Chesterfield, Wigan Athletic, Middlesbrough dan Birmingham City, katanya kepada Bernama.

Sebelum ini T-Team telah mengikat kontrak juga selama setahun bekas pemain kebangsaan Belanda, George Boateng, 37, yang akan memperkuatkan barisan tengah.

Boateng pemain kelahiran Nkawkaw, Ghana pernah menyertai Feyenoord Rotterdam dan pasukan EPL seperti Middlesbrough, Aston Villa, Hull City dan Nottingham Forest.

Abdul Rashid berkata T-Team akan mendaftar antara 25 hingga 30 orang pemain termasuk pemain import dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia sebelum pendaftaran pemain ditutup Khamis ini.

Satu sesi peminat bertemu pemain akan diadakan di tapak Piala Monsun, Pulau Duyong pada pukul 3 petang Selasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain