suria

Kelantan Juara Ragbi Piala Agong Tiga Tahun Berturut-Turut

PETALING JAYA: Kelantan berjaya mempertahankan kejuaraan Ragbi Piala Agong 2012 untuk tahun ketiga berturut-turut dengan menewaskan Negeri Sembilan 27-15 pada perlawanan akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini Ahad.

Kelantan bermula garang apabila kerap melakukan serangan namun dikejutkan dengan larian pantas Mohd Azmir Zainal Abidin yang berjaya melakukan 'try' seawal minit keenam perlawanan untuk membolehkan Negeri Sembilan mendahului 5-0.

Tersentak dengan keadaan itu, Kelantan memperkemaskan serangan dengan kerap mengasak kubu sebelah kiri lawan dan berjaya melakukan tiga 'try' dan menyempurnakan tiga 'conversion'.

Separuh masa pertama, Kelantan mengatasi Negeri Sembilan, 21-10.

Di babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun Kelantan kekal mendahului perlawanan sehingga wisel penamat apabila berjaya menyempurnakan dua sepakan penalti manakala Negeri Sembilan berjaya membuat satu jatuhan 'try'.

Pengurus pasukan Kelantan, Mohd Noor Nek Alias memberitahu pemberita bahawa kemenangan buat tahun ketiga berturut-turut itu merupakan hasil pemain yang telah lama menjalani latihan bagi memastikan misi membawa pulang Piala Agong berjaya.

"Strategi kita menjadi hari ini walaupun Negeri Sembilan kerap melakukan larian pantas di bahagian tengah, namun kita menukar corak permainan dengan lebih menekan pertahanan mereka di bahagian kiri dan ia menjadi," katanya.

Pemain 'flanker' Kelantan, Mohd Hafizh Zainal dinobatkan pemain terbaik kejohanan kali ini.

Perlawanan separuh akhir Khamis lepas menyaksikan Kelantan menewaskan Sabah 23-15, manakala Negeri Sembilan mengatasi Kedah, 13-12.

Berangkat hadir menonton perlawanan akhir itu ialah anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim yang berkenan menyampaikan piala kejohanan kepada pasukan Kelantan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain