suria

Malaysia Gagal Ke Perlawanan Akhir Skuasy Berpasukan Wanita Dunia

KUALA LUMPUR: Pasukan skuasy wanita kebangsaan gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Wanita Berpasukan Dunia apabila kalah 1-2 kepada England pada pelawanan separuh akhir di Perancis, pada Jumaat.

Menurut laman web kejohanan itu, www.squashsite.co.uk, pada perlawanan di gelanggang kaca La Parnasse, pemain Nombor Satu Dunia Datuk Nicol David melakar permulaan baik bagi Malaysia dengan mengalahkan pemain England, Laura Massaro, dalam tiga set 11-5, 11-6 dan 11-8.

Bagaimanapun, England menyamakan kedudukan melalui Jenny Duncalf apabila dia mengalahkan Delia Arnold 11-7, 11-9 dan 11-9. Peluang Malaysia tertutup rapat apabila Low Wee Wern kalah kepada Alison Water 6-11, 11-7, 9-11 dan 5-11 walaupun memberi tentangan hebat kepada pemain England itu.

Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan dua tahun sekali ini ialah menduduki tempat ketiga pada 2006 ,2008 dan 2010.

Berikutan kemenangan itu, England, yang kali terakhir menjadi juara pada 2006, akan bertemu juara 2008, Mesir, pada perlawanan akhir Ahad ini.

Pada satu lagi perlawanan separuh akhir, Mesir mengalahkan juara bertahan, Australia, 3-0. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain