suria

MMER 2012: Farique Mahu Pasukan Petronas Syntium Kekal Juara

Farique (kanan) bersama Ang (tengah) serta Melvin bergambar selepas sidang media pasukan Petronas Syntium sempena MMER 2012. Foto: RAYMOND OOI/ The Star
Farique (kanan) bersama Ang (tengah) serta Melvin bergambar selepas sidang media pasukan Petronas Syntium sempena MMER 2012. Foto: RAYMOND OOI/ The Star
Farique (kanan) bersama Ang (tengah) serta Melvin bergambar selepas sidang media pasukan Petronas Syntium sempena MMER 2012. Foto: RAYMOND OOI/ The Star

KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan Petronas Syntium, Farique Hairuman mahu menjadikan perlumbaan Malaysia Merdeka Endurance (MMER) 2012 hujung minggu ini yang terbaik sepanjang 12 tahun kariernya bersama pasukan ini.

Farique,29, berkata, sepanjang penglibatannya dalam perlumbaan tahunan ini, dia tidak pernah bergelar juara walaupun pasukannya merupakan juara bertahan keseluruhan untuk dua tahun berturut-turut.

"Petronas Syntium mempunyai dua pasukan dan tahun lalu pasukan saya yang memandu Mercedes-benz SLS AMG GT3 bersama dua lagi rakan saya, Tatsuya Kataoka serta Melvin berada di tangga ketiga keseluruhan.

"Manakala satu lagi pasukan Petronas Syntium dalam Kelas GT, Mercedes-Benz SLS AMG GT3 yang dipandu oleh Nobuteru Taniguchi, Masataka Yanagida dan Dominic Ang berjaya menjuarai perlumbaan ini," katanya kepada media, Selasa.

Sebagai persiapan menghadapi perlumbaan MMER kali ini, Farique bersama, pasukannya telah menjalani latihan bagi memantapkan aksi hujung minggu ini.

"Kami lebih menumpukan kekuatan mental dan fizikal. Walaupun sedar saingan tahun ini dijangka tidak seperti tahun lalu yang sengit, kami tetap berwaspada dengan pasukan Ferrari Itali, dan juga Lamborghini.

"Kami lagi menggunakan jentera yang sama, cuma ada sedikit ubahsuai teknikal pada enjin dan saya harap ia lebih baik berbanding tahun sebelumnya," jelas pelumba kelahiran Johor Baru ini.

Menurut Farique lagi, perlumbaan ini juga dijadikan sebagai pemanas badan pasukannya untuk mengharungi dua lagi pusingan akhir siri Super Taikyu yang berlangsung di Jepun.

"Kami telah menamatkan lapan pusingan dan setakat ini kedua-dua pasukan Petrronas Syntium berada di tempat pertama dan kedua.

"Saya harap kedua-kedua pasukan ini akan mengekalkan rentak untuk menamatkan aksi Super Taikyu tahun ini di tempat teratas," katanya.

Sementara rakan sepasukan Farique, iaitu Melvin turut menyasarkan untuk menamatkan perlumbaan 12 jam ini di tempat yang terbaik.

"Ini merupakan tahun kedua saya menyertai aksi MMER dan saya harap kedua-dua pasukan Petronas Syntium boleh pertahankan gelaran yang dijulang sebelum ini.

"Berada dengan pelumba yang lebih senior (Farique) memberikan saya dan Ang kelebihan untuk menimba lebih banyak pengalaman," katanya.

Perlumbaan MMER 2012 akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula pukul 12 tengahari pada Sabtu (1 September) dan dijangka berakhir pada 12 tengah malam Ahad.

Sebanyak 35 penyertaan tahun ini berbanding 47 tahun lalu.

Namun apa yang menarik, kemunculan pasukan Ferrari dari Itali bakal menarik peminat-peminat sukan permotoran tanah air memandangkan pertama kali muncul pada perlumbaan MMER.

Artikel Berikut

Artikel Lain