suria

Penurunan Ranking Dunia Lee Chong Wei Sudah Dijangka

PETALING JAYA: Kehilangan status pemain nombor satu dunia milik Datuk Lee Chong Wei telah dijangkakan berikutan kegagalannya menyertai Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia minggu lepas.

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh berkata, selain itu Chong Wei tidak dapat menamatkan aksi pada pusingan akhir Piala Thomas di Wuhan, China, bulan lepas.

Bagaimanapun, katanya kedudukan jaguh negara itu tidak menggugat kedudukan pemain pilihan pada Sukan Olimpik London 2012, bulan depan.

Pengundian acara Sukan Olimpik telahpun dijalankan oleh pihak penganjur berdasarkan kepada ranking dunia pada 3 Mei lepas, katanya ketika ditemui pemberita pada perasmian premis Mesuma Sdn Bhd (Mesuma) di sini, Jumaat.

Mesuma adalah penaja pakaian sukan rasmi kepada kontinjen Malaysia ke beberapa temasya sukan termasuk Sukan Olimpik sejak enam tahun lepas.

Mengikut ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pemain China, Lin Dan kini menduduki status pemain nombor satu dunia dengan mengumpul 93,313.4114 mata.

Manakala Chong Wei jatuh ke tangga kedua dengan 91,898.7300 mata.

Tempat ketiga dan keempat dikuasai dua pemain China iaitu Cheng Long dan Chen Jin, masing-masing mengumpul 82,460.3161 dan 71,292.9100 mata.

Untuk rekod, Chong Wei memegang kedudukan pertama ranking dunia selama tiga tahun 11 bulan bermula 20 Ogos, 2008 iaitu empat hari selepas beliau tewas kepada Lin Dan pada perlawanan akhir Sukan Olimpik Beijing 2008.

Sementara itu, Lin Dan masih menjadi pemain perseorangan yang paling lama menduduki tangga teratas ranking dunia BWF iaitu selama empat tahun enam bulan bermula Februari, 2004. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain