suria

Kejohanan Julung Kali Tinju Wanita Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Buat julung kali Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) akan menganjurkan Kejohanan Tinju Wanita Perseorangan Kebangsaan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Taman Keramat pada 6 hingga 9 Jun ini.

Setiausaha Kehormatnya, Mejar (B) Maulud Othman berkata kejohanan itu dianjurkan bagi mencungkil lebih ramai bakat baru dalam sukan yang semakin diminati oleh kaum wanita di negara ini.

"Menerusi kejohanan tersebut, kita akan memilih empat atau lima orang petinju wanita yang berpotensi untuk mewakili negara ke Temasya Sukan SEA Myanmar pada tahun depan," katanya ketika dihubungi Bernama, Isnin.

Maulud berkata keyakinan PTAM untuk mempertaruhkan lebih ramai petinju wanita bermula apabila petinju wanita negara, Lin Ai Jin berjaya membawa pingat gangsa menerusi kategori wanita light flyweight 48kg pada Sukan SEA di Palembang, Indonesia tahun lepas.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya sedang berusaha memujuk Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk memberi peluang kepada Muhamad Farkhan Mohd Harun untuk layak secara wildcard mewakili negara ke Temasya Sukan Olimpik London yang akan berlangsung pada dari 27 Julai hingga 12 Ogos 2012.

"Ketika ini masih terdapat lima kekosongan bagi zon Asia, kita harap Farkhan diberi peluang mengisi kekosongan tersebut walaupun beliau sebelum ini gagal mendapat tiket secara merit pada kejohanan zon Asia di Kazakhstan April lepas," katanya.

Pada kejohanan tersebut Farkhan, 24, yang beraksi dalam kategori middle weight 75kg melalui laluan sukar apabila tewas kepada petinju handalan dan jaguh dunia dari Uzbekistan, Atoev Abbos pada perlawanan kedua.

Mengulas pula mengenai insiden Farkhan cedera dibelasah oleh sekumpulan lelaki di sebuah restoran di Johor Bharu awal pagi semalam, Maulud berkata PTAM tidak masuk campur dalam kes tersebut kerana ia membabitkan hal peribadi.

"PTAM hanya bertanggungjawab menjaga petinju ketika mereka menjalani latihan," katanya.

Beliau berkata beliau cuba menghubungi keluarga Farkhan namun gagal untuk mendapat maklumat mengenai keadaan Farkhan yang kini dirawat di sebuah hospital swasta. - BERNAMA

Artikel Lain