suria

Pahang Juara Keseluruhan Kejohanan Silat Kebangsaan Ke-16

KUALA LUMPUR: Pahang dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Silat Kebangsaan ke-16 buat kali keempat berturut-turut selepas menambah dua pingat emas pada hari terakhir kejohanan itu di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras di sini, Ahad.

Pingat emas pertama juara kejohanan pada 2004, 2006 dan 2010 itu disumbangkan oleh pesilat wanitanya, Azlina Abdul Aziz yang menumpaskan Junaidah Omar dari Gayong Malaysia dengan kiraan mata 3-2 dalam Kelas Puteri Bebas (75-90kg).

Mohd Saiful Riduan Rahmat menghadiahkan emas kedua Pahang selepas menumpaskan Mohd Nazrul Mazlan dari Selangor dengan keputusan 3-2 untuk membolehkan mereka muncul juara keseluruhan dengan kutipan 11 emas, tiga perak dan empat gangsa.

Tempat kedua diraih oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan mengumpul enam emas dan lima gangsa diikuti oleh Terengganu yang mengumpul tiga emas, empat perak dan empat gangsa.

Selaku juara, Pahang meraih wang tunai RM5,000 serta trofi kejohanan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

ATM dan Terengganu yang muncul naib juara dan tempat ketiga masing-masing memperolehi trofi dan wang tunai bernilai RM3,000 dan RM2,000.

Ketua Jurulatih Pahang Mohamad Hamidi Mohamad berkata beliau bangga dengan pencapaian anak buahnya selepas mereka bertungkus lumus menjalani latihan giat sejak tiga tahun lepas.

"Walaubagaimanapun, saya sedikit kecewa dengan kategori silat olahraga kerana pesilat kita hanya memperolehi tiga pingat emas berbanding lima pingat emas yang kita sasarkan pada peringkat awal," katanya.

Beliau berkata sebahagian besar pesilat muda negeri tersebut dihantar menyertai kejohanan silat kali ini sebagai persediaan awal untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) juga di Pahang pada Julai ini.

Ditanya mengenai sasaran pingat pada Sukma nanti, Mohamad Hamidi berkata, beliau tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi kepada kesemua pesilat di bawah didikannya memandangkan tidak kesemua negeri menghantar pesilat terbaik mereka pada kejohanan kali ini.

"Kita masih menjalani latihan pusat di Kuantan dan Temerloh sebelum ke Sukma dan nama-nama mereka yang berpotensi akan kita serahkan kepada Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Pahang untuk disenaraikan pada Sukma nanti," katanya.

Artikel Lain