suria

Ryan Chong Wakil Tunggal Taekwondo Ke London

KUALA LUMPUR: Sandaran utama pingat dari acara taekwondo di Sukan Olimpik London pada Julai depan kini terletak sepenuhnya di bahu Ryan Chong selepas Elaine Teo terpaksa dipinggirkan akibat kecederaan lutut.

Jurulatih pasukan R. Dhanaraj berkata Elaine, 30, yang pernah mewakili negara pada Sukan Olimpik Athens 2004 dan Beijing 2008 disahkan tidak akan ke London kerana masih dalam tempoh pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut Selasa lepas.

"Elaine masih menjalani pemulihan dan dijangka tidak sempat menyertai mana-mana kelayakan ke Olimpik London," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini Isnin.

Dhanaraj berkata ketika ini hanya Ryan yang akan membawa cabaran Malaysia ke London di atas tiket 'wild-card'.

Elaine yang memenangi pingat emas pada penampilan pertamanya mewakili negara di Sukan SEA Brunei 1999, mengalami kecederaan 'anterior cruciate ligament' (ACL) semasa bertanding pada kejohanan taekwondo kelayakan Asia bagi Sukan Olimpik London di Bangkok Disember lepas.

Pencapaian terbaik Elaine ialah layak secara merit pada dua temasya Sukan Olimpik Athens dan Beijing selain meraih tempat ketujuh di China tapi gagal melepasi saingan awal di Greece. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain