suria

GILA BOLA: PERLAWANAN EPL MALAM INI PENUH DRAMA

MINGGU ni penuh dengan aktiviti bolasepak, baik di dalam mahu pun di luar negara. Pertandingan peringkat kumpulan untuk penentuan kelayakan Piala Malaysia telah pun berakhir kini para pasukan sedang menunggu undian untuk menentukan lawan masing-masing dalam peringkat seterusnya.

Pertandingan Liga Juara-juara Eropah dan Liga Eropah sudah masuk perlawanan kedua bagi setiap pasukan. Nyata sekali, pertandingan peringkat Eropah dan peringkat Liga Nasional menampilkan cabaran dan kebijaksanaan taktikal yang berbeza.

Sebagai contoh, mengikut komen Sir Alex Ferguson, pasukannya perlu mengkaji semula corak permainan menyerang yang menjadi ‘trademark’ Manchester United musim ini. Ini selepas menyaksikan bagaimana Basle mampu kembali mendahului setelah ketinggalan dua gol kosong sebelum Manchester United menyamakan kedudukan semula.

Nasib serupa juga menimpa jiran United, Manchester City yang dibenam dua gol kosong oleh Bayern Munich meskipun Mancini terkenal sebagai ‘master tactician’ bila menghadapi pasukan yang mengamalkan taktik serangan.

Dan jarang-jarang sekali barisan serangan City gagal mengambil manfaat di hadapan pintu gol sepertimana setiap kali mereka bertemu pasukan-pasukan dalam Liga Perdana Barclays. Lain padang lain belalang.

Hari ini, kita dihidangkan dengan tiga perlawanan yang bakal menemukan Fulham dan Queens Park Rangers, Swansea City dan Stoke City dan pertembungan ‘North London Derby’ antara Tottenham Hotspurs dan Arsenal.

Fulham lawan Queens Park Rangers

Fulham yang terkenal dengan jolokan pakar seri untuk musim ini akan sekali lagi berusaha untuk mengambil peluang mencatatkan kemenangan pertama untuk musim ini. Setakat hari ini, Fulham hanya mampu mencatatkan keputusan seri empat kali dan kalah dua kali, dengan tiga keputusan seri tersebut dicatatkan di gelanggang sendiri.

QPR pada masa yang sama telah menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan. Kecekapan pengurus QPR mengatur posisi dan pendekatan taktikal yang sesuai dengan barisan pemain baru dan lama yang dimilikinya jelas kelihatan dalam tiga, empat pertembungan kebelakangan ini.

Meskipun begitu, sama ada faktor nasib atau pun tahap persefahaman yang masih di peringkat penyesuaian, barisan serangan QPR masih gagal memanfaatkan peluang-peluang yang terhidang di hadapan pintu gawang lawan.

QPR akan meneruskan corak permainan menyerang mereka dan Fulham sudah tentu akan berusaha lari dari gelaran pakar seri bagi mencari kemenangan sulung musim ini.

Gilabola meramalkan kelebihan berpihak kepada QPR memandangkan mereka lebih agresif dan ‘adventurous’ apabila bertandang ke gelanggang lawan.

Swansea City lawan Stoke City

Swansea memulakan kempen Liga Perdana Barclays dengan mengharungi perlawanan-perlawanan berat menentang pasukan gergasi England di gelanggang lawan dan seperti yang dijangka mereka kalah kesemua pertembungan menentang Manchester City (4-0), Arsenal (1-0) dan Chelsea (4-1).

Namun begitu, apabila melihat kepada rekod perlawanan mereka di gelanggang sendiri, Swansea mampu menarik nafas lega apabila mampu mengutip lima dari sembilan mata yang dipertaruhkan apabila seri dengan Wigan dan Sunderland dengan keputusan (0-0) dan menang bergaya (3-0) dengan West Bromwich Albion.

Stoke pula pada masa selain mengharungi perlawanan Liga Perdana Barclays, perlu bersaing dalam pertandingan Liga Europa sebagai Naib Juara Piala FA England musim lalu. Kelebihan bermain dengan kelab-kelab besar dalam liga Eropah sedikit sebanyak mematangkan pemain-pemain Stoke City dalam menyesuaikan diri dengan bentuk permainan dan taktikal pasukan-pasukan khususnya dari liga Sepanyol, Itali, Jerman, Turki dan lain-lain.

Dengan berbekalkan kejayaan mereka mengekang malahan jika dilihat secara keseluruhan pertembungan semasa mereka menerima kunjungan Manchester United di gelanggang sendiri minggu lalu, boleh dikatakan bahawa mereka mengawal sebahagian besar permainan dengan lontaran jauh Rory Delap dan hantaran serta umpanan bahaya ke arah pintu gol United, Stoke menghadapi pertembungan ini dengan semangat yang tinggi.

Ini dituruti oleh kejayaan mereka mencatatkan kemenangan pertama dalam Liga Europa menewaskan jaguh Liga Turki, Besiktas dengan keputusan 2-1. Kehadiran Peter Crouch nyata memberi kelebihan kepada Stoke untuk memanfaatkan lontaran jauh Rory Delap ke arah gol dan umpanan sepakan sudut yang sememangnya memerlukan pemain penyerang dengan ketinggian tubuh badan Crouch.

Ini kelihatan dalam dua pertembungan terakhir Stoke, dimana mereka seolah-olah telah berpuluh-puluh kali berlatih membuat umpanan serta lontaran jauh ke arah tengah pintu gawang lawan. Kegagalan pasukan lawan menghadapi situasi tersebut bakal membawa padah dan jika tidak kerana ketangkasan penjaga gol Manchester United minggu lalu, pastinya United akan pulang dengan tangan kosong.

Seperkara lagi, corak permainan ‘robust’ yang dipamerkan oleh pemain-pemain Stoke ternyata memberi kelebihan kepada mereka kerana ia menghadkan pemain-pemain pasukan lawan dari mampu mengawal bola lebih lama.

Hasilnya pasukan lawan terpaksa mengatur gerakan dengan pantas dan melepaskan bola dengan kadar segera bagi mengelakkan bola dirampas, kaki dibentes (bagi mengelakkan kecederaan khususnya pemain-pemain yang sering dibelenggu kecederaan) dan akhirnya pasukan lawan membuat kesilapan yang akan diambil manfaat untuk Stoke membuat serangan balas.

Meskipun Swansea mempunyai rekod bermain di tempat sendiri yang baik namun Stoke membawa corak permainan yang amat berbeza berbanding pasukan-pasukan lain yang pernah bertandang di Liberty Stadium. Dengan pendedahan peringkat eropah dan corak permainan yang sinonim dengan terjahan keras dan ‘robust’, Gilabola meramalkan Stoke akan meneruskan momentum kemenangan dengan mencuri tiga mata penuh dari Swansea.

Tottenham Hotspurs lawan Arsenal

Kedua-dua pasukan baru selesai berjuang dalam Liga Eropah, Tottenham Hotspurs membelasah Shamrock Rovers 3-1 dalam pertembungan Liga Eropah dan Arsenal dengan gugupnya menewaskan Olympiakos 2-1 dalam pertembungan Liga Juara-juara.

Malam minggu ini bakal menyaksikan untuk kesekian kalinya kedua-dua pasukan ini bertemu dalam apa yang dinamakan sebagai “The North London Derby”. Sehingga setakat April 2011, kedua-dua pasukan ini telah bertemu sebanyak seratus tujuh puluh kali dengan Arsenal memenangi pertemuan tersebut sebanyak tujuh puluh satu kali, seri empat puluh tujuh kali dan Spurs memenanginya sebanyak lima puluh dua kali.

Namun begitu, melihat kepada keadaan kedua-dua pasukan, pertembungan minggu ini bakal menjanjikan kelainan. Spurs berbekalkan momentum kemenangan empat perlawanan berturut selepas memulakan kempen Liga Perdana Barclays dengan kekalahan teruk kepada kedua-dua kelab Manchester pastinya bersemangat menghadapi perlawanan ini.

Masalah perpindahan Luka Modric nampaknya sudah tidak berbangkit lagi dan pemain tersebut terus unggul menunjukkan komitmen tidak berbelah bagi kepada Spurs nyata merisaukan Arsenal.

Arsenal meskipun datang bertandang ke White Hart Lane dengan berbekalkan dua kemenangan berturut-turut selepas dikejutkan oleh Blackburn dua minggu sudah namun kelihatan masih agak rapuh di bahagian pertahanan.

Meskipun Arsene Wenger telah membawa masuk Per Mertesacker, Mikel Arteta dan Andre Santos untuk memperkukuhkan bahagian pertahanan dan menstabilkan bahagian tengah mereka, ianya masih kurang meyakinkan.

Kehadiran semula pemain yang pernah menyarung jersi Arsenal, Emmanuel Adebayor mesti mengundang keresahan Wenger apabila beliau sendiri sedar akan kemampuan bekas anak didiknya itu.

Kejayaannya menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanannya dengan Spurs pasti akan membuatkan Adebayor turun dengan keyakinan yang tinggi dan pastinya Adebayor ingin menunjukkan kepada Wenger bahawa beliau masih lagi penyerang berbisa yang Wenger lepaskan kepada Manchester City tidak berapa lama dahulu.

Kehadiran Scott Parker dibahagian tengah Spurs pastinya akan dinantikan oleh Mikel Arteta. Dua pemain lama dalam Liga Perdana Barclays yang pastinya akan menyaksikan pertembungan mengawal bahagian tengah padang yang amat sengit.

Arsenal tidak dinafikan telah mula menunjukkan kemampuan sebenar mereka tetapi dengan permasalahan dan kecederaan kepada pemain-pemain pertahanan mereka adalah amat sukar untuk menyaksikan bagaimana pemain-pemain makeshift Arsenal mampu mengekang arus serangan yang bakal ditujukan oleh pemain-pemain penyerang Spurs yang ratanya bebas dari masalah kecederaan.

Gilabola meramalkan kelebihan berpihak kepada Spurs atas faktor-faktor bermain di tempat sendiri dan mereka memiliki senjata serangan yang arif tentang kelebihan dan kelemahan yang dimiliki oleh barisan pemain-pemain Arsenal.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain