suria

Atlet Angkat Berat Terus Jalani Latihan Intensif

KUALA LUMPUR: Skuad angkat berat negara tetap menjalani latihan intensif pada Ramadan ini sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan SEA ke-26 Indonesia dan kelayakan Sukan Olimpik menerusi Kejohanan Dunia di Paris, Perancis November ini.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Zafarul Akbar Kassim berkata latihan diteruskan pada Ramadan ini agar prestasi atlet tidak terganggu dan menjejaskan momentum atlet.

"PABM mendapat permintaan daripada atlet sendiri yang ingin menjalani latihan seperti biasa pada bulan puasa, meskipun doktor dan pakar kesihatan kurang setuju kerana angkat berat ialah satu sukan yang memerlukan tenaga yang banyak," katanya.

Zafarul berkata waktu latihan, yang biasanya diadakan pada waktu pagi dan petang, kini diubah ke waktu malam bagi menyesuaikan dengan keadaan atlet yang berpuasa.

"Latihan melibatkan 11 atlet elit dan 13 atlet pelapis negara diadakan di pusat latihan milik PABM di Bandar Tasik Selatan yang dilengkapi dengan tempat latihan, gimnasium dan kolam renang," katanya.

Beliau berkata atlet elit akan dihantar untuk bertanding ke Kejohanan Dunia di Paris November ini yang juga merupakan kelayakan ke Sukan Olimpik tahun depan.

"Atlet Malaysia masih mempunyai peluang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik London 2012 melalui penyertaan pada kejohanan ini," katanya.

Katanya kejohanan terakhir kelayakan ke Sukan Olimpik London akan diadakan pada April tahun depan di Korea Selatan.

Bagi menggalas cabaran Sukan SEA, PABM katanya akan menghantar kombinasi atlet elit dan pelapis negara untuk bertanding.

"Berdasarkan prestasi semasa dan laporan jurulatih, PABM percaya atlet yang dihantar untuk bertanding mampu membuat 'upset' (kejutan)," katanya.

Pada Sukan SEA ke-25 di Laos, skuad angkat berat negara merangkul tiga perak, dua gangsa dengan pingat perak disumbang Raihan Yusoff dalam kategori 53 kilogram, Zulkifli Che Ros (77kg) dan Mohd Faiz Musa (94kg).-BERNAMA

Artikel Lain