suria

Golf: Granberg Buat Kejutan Pusingan Pertama Selangor Masters

SHAH ALAM: Pemain baru Joonas Granberg memberi amaran awal dengan mencipta rekod lapangan 10 bawah par 62 untuk mendahului pusingan pertama Kejohanan Golf Worldwide Holdings Selangor Masters 2011 Rabu.

Pemain Finland berusia 24 tahun itu membuka saingan dengan pukulan eagle pada par empat lubang ke-10 untuk mencetuskan minat sebelum mengutip sembilan birdie dan satu bogey di Kota Permai Golf & Country Club di sini.

"Ini memang hebat dan perasaan ini memang menghairankan walaupun saya hanya tidur selama tiga jam malam tadi. Semua pukulan memang menjadi," kata Granberg.

Aksi cemerlang itu membolehkan beliau mendahului saingan dengan kelebihan tiga pukulan daripada pemain Afrika Selatan, Tjaart Van Der Walt, yang melakarkan tujuh bawah par 65 di tempat kedua.

Van Der Walt, yang cuba memulihkan kariernya di Asia selepas kecederaan pergelangan tangan dan siku semasa Jelajah PGA Amerika Syarikat, membenam tujuh birdie untuk berada di kelompok utama kejohanan bernilai RM1.2 juta itu.

Ketinggalan empat pukulan di belakang pendahulu ialah pemain Amerika Syarikat Berry Henson dengan enam bawah par 66.

Tiga pemain berkongsi kedudukan tangga keempat -- Jyoti Randhawa (India), Moc Joong-kyung (Korea Selatan) dan Pariya Junhasavasdikul (Thailand) -- dengan masing-masing melakukan lima bawah par 67.

Pemain terbaik Malaysia pada pusingan pembukaan ialah Rashid Ismail dan Solhairy Shariff, masing-masing mencipta pukulan tiga bawah par 69.

KEPUTUSAN PENDAHULU PUSINGAN PERTAMA:

62 - Joonas Granberg (FIN)

65 - Tjaart Van Der Walt (RSA)

66 - Berry Henson (USA)

67 - Jyoti Randhawa (IND), Pariya Junhasavasdikul (THA), Mo Joong-kyung (KOR)

68 - Kalle Samooja (FIN), Siddikur Rahman (BAN), Panuwat Muenilek (THA), Ashok Kumar (IND), Artemio Murakami (PHI), Lam Chih Bing (SIN), Lin Wen-tang (TPE), Adam Groom (AUS),

69 - Solhairy Shariff (MAS), Gaurav Ghei (IND), Rashid Khan (IND), Thanyakon Khrongpha (THA), Anirban Lahiri (IND), Rashid Ismail (MAS), Thammanoon Sriroj (THA), Young Nam (KOR), Matthew Rosenfeld (USA), Jason King (AUS), Tim Stewart (AUS), Juvic Pagunsan (PHI). - BERNAMA

Artikel Lain