suria

Skuad Renang Berirama Pulau Pinang Bolot Dua Emas

KUALA LUMPUR: Pasukan renang berirama Pulau Pinang menyapu bersih dua pingat emas yang ditawarkan dalam acara berpasukan teknikal routine dan acara berpasukan free routine di Pusat Akuatik National, Bukit Jalil, Khamis.

Pingat emas bagi acara berpasukan free routine menjadi milik pasukan Pulau Pinang setelah memperolehi mata tertinggi 71.500 menewaskan Negeri Sembilan yang hanya mendapat 69.500 mata (pingat perak).

Wilayah Persekutuan pula memperolehi pingat gangsa setelah mendapat 65.833 mata.

Satu lagi pingat emas Pulau Pinang dikutip menerusi acara berpasukan teknikal routine yang berlangsung pagi tadi.

Emanuelle Mak, 16, berkata beliau dan rakan-rakannya sangat gembira dengan kejayaan yang dicipta oleh pasukan Pulau Pinang yang meraih dua pingat emas, Khamis.

"Kejayaan ini adalah hasil latihan dan kerjasama selama setahun dan ia adalah kejayaan seluruh pasukan," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Emanuella yang juga atlet kebangsaan berkata beliau rasa gembira dapat berkongsi pengalaman bersama rakan-rakannya dalam skuad negeri.

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu berkata beliau harap kejayaan hari ini akan memberi lebih semangat untuk beliau dan seorang lagi rakan dari skuad kebangsaan, Tasha Jane menghadapi cabaran di Sukan SEA, Indonesia pada hujung tahun ini.

Artikel Lain