suria

Johor Bertemu Wilayah Persekutuan Dalam Saingan Bola Keranjang Lelaki

KUALA LUMPUR: Skuad bola keranjang lelaki Johor dan Wilayah Persekutuan mengesahkan kemaraan ke final setelah membenam cabaran masing-masing pada kelayakan separuh akhir di Stadium Maba, Jalan Hang Jebat pada Jumaat.

Aksi separuh akhir menyaksikan penyandang juara tahun lalu, Johor menepati ramalan menguasai perlawanan menumpaskan Pahang 85-65, sementara Wilayah Persekutuan mencipta kejutan menewaskan naib juara edisi lalu Melaka dengan 54-47.

Bercakap kepada Bernama, jurulatih Johor Danny Yong berkata pasukannya yakin untuk memenangi perlawanan separuh akhir itu kerana mempunyai tiga tunjang utama yang mewakili negara.

"Mereka bertiga hari ini pamerkan aksi yang mantap dalam saingan 40 minit itu. Saya mahu semua (anak didik) berwaspada dalam perlawanan akhir esoknya.

"Saya jangkakan kita akan menentang Melaka lagi namun saya tidak sangka Wilayah Persekutuan telah mengalahkan pasukan 'favourite' itu malah mereka telah mempamerkan aksi yang tangkas dan bertenaga tewaskan naib juara itu," katanya.

Tiga pemain yang dimaksudkan Yong ialah Kuek Tian Yuan, Choo Wei Hong dan Te Kok Lim.

Sementara itu, kapten Wilayah Persekutuan Ong Chun Khee, 21, berkata walaupun pasukannya tidak membuat persiapan rapi namun kombinasi dan strategi membuat serangan balas membuatkan mereka mampu menewaskan lawannya.

"Kita tidak sangka mampu mencipta kejutan ke final kerana tidak punyai latihan yang secukupnya kerana rata-rata rakan-rakan saya (pemain) masih belajar dan ada yang sudah bekerja.

"Ini kali kedua saya menyertai Sukan Malaysia dan pencapaian terbaik saya setakat ini," katanya yang memberitahu temasya kali ini adalah yang terakhir baginya.

Skuad Wilayah Persekutuan lelaki terkandas di suku akhir pada edisi Sukan Malaysia di Melaka tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Lain