suria

Solehin Lebih Sedia Harungi Pusingan 3

PELUMBA Honda Promax X-Dot Racing Mohd Solehin Mohd Sukor (gambar) kini lebih bersedia untuk beraksi pada Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Terengganu pada 13 dan 14 Mei ini.

Solehin yang beraksi dalam kategori Wira ini menguasai perlumbaan akhir di Batu Kawan(Pusingan 2) bulan lalu namun rentaknya terganggu akibat tekanan yang diberikan Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing).

Akibatnya, dia tersungkur ketika perlumbaan baru berlangsung sebanyak tiga pusingan.

Adib turut terjatuh namun dia mampu menghabiskan perlumbaan di tempat kelima manakala Solehin terpaksa berpuas hati sekadar menduduki tempat ke-16.

Pelumba berusia 17 tahun itu jelas menyesal kerana membiarkan tekanan membawa impak kepada prestasinya. Dia mengakui sepatutnya perlu sepenuh perhatian kepada perlumbaan bukannya cuba untuk menjarakkan diri dengan Adib kerana perlumbaan ketika itu masih jauh.

"Saya cukup kecewa dengan keputusan Pusingan 2. Bukan hanya kerana saya gagal menaiki podium, malah gagal untuk mengutip sebarang mata.

"Puncanya kerana saya begitu tertekan apabila Adib mengekori dengan rapat. Perlumbaan tersebut mungkin boleh berakhir dengan lebih baik jika saya mengekalkan rentak dan tidak panik.

"Saya mengharapkan nasib saya lebih baik pada perlumbaan minggu depan. Dan kalau ada rezeki, saya mahu mengutip mata kerana ketika ini saya masih gagal memperoleh sebarang mata walaupun sudah dua pusingan berlalu,” kata bekas pemenang tempat kedua keseluruhan Cabaran Honda icon tahun 2009 itu.

Selain daripada itu, Solehin percaya masih terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaikinya bagi menyaingi pelumba-pelumba kelompok hadapan dan ketika ini dia berusaha dengan begitu keras bagi mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut.

“Apabila Adib mula merapatkan diri, saya mula hilang tumpuan dan seringkali melakukan kesilapan.

"Tambahan pula, itu merupakan kali pertama saya mengetuai perlumbaan dan saya seakan meragui kemampuan diri sendiri. Hasilnya, ia berakhir dengan perlanggaran. Sungguh mengecewakan kerana pada ketika itu jentera Honda saya berada dalam keadaan yang sangat baik," katanya.

Kini Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) sedang mendahului kedudukan keseluruhan kategori Wira dengan 41 mata.

Diikuti Nurahmad Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang Racing) ditangga kedua (40 mata) dan Mohd Izzat Zaidi Salehan ketiga dengan 25 mata.

Artikel Lain