suria

Perak Tetap Hukum Razali Walaupun Selepas Akui Kesilapan

IPOH: Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) tetap akan mengambil tindakan disiplin terhadap penyerang pasukan negeri, Razali Umar Kandasamy, walaupun beliau berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

Razali sebelum ini telah menghilangkan diri sejak 9 Mac lepas dan hanya menghantar SMS kepada seorang pegawai pasukan menyatakan dia mengalami cirit birit dan tidak dapat turun berlatih.

Semalam, pemain itu menemui Presiden Pafa, Datuk Zainol Padzi Paharuddin, dan berikrar tidak akan mengulangi kesilapannya. Zainol Padzi berkata tindakan disiplin tetap dikenakan terhadap Razali kerana dia telah melanggar syarat-syarat kontrak berikutan kegagalannya hadir ke sesi latihan harian.

"Dia berazam untuk membantu pasukan Perak dalam saingan liga musim ini. Dan saya terima alasan dia yang berjanji ini yang terakhir," katanya.

Keputusan muktamad mengenai Razali akan diputuskan oleh persatuan yang akan bermesyuarat minggu ini manakala kedudukannya dalam kesebelasan utama pasukan bergantung kepada jurulatih Perak, kata Zainol Padzi.

Beberapa ahli Majlis Pafa sebelum ini mencadangkan supaya penyerang berusia 25 tahun ini dikenakan tindakan yang keras. Pada awal musim, Pafa memotong gaji Razali selama dua bulan kerana gagal menghadiri latihan selama tiga minggu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain