suria

Bola Sepak Sukan Olimpik: Malaysia Bertemu Lubnan

KUALA LUMPUR: Malaysia akan bertemu Lubnan pada pusingan kedua kelayakan bola sepak Sukan Olimpik.

Perlawanan pertama dijadualkan di Lubnan pada 19 Jun manakala kedua di sini pada 23 Jun.

Negara lain ialah Kuwait, Thailand, Oman, Emiriyah Arab Beersatu (UAE), Iran, Yeman, Hong Kong, Jordan, India dan Turkmenistan yang memenangi perlawanan pusingan pertama masing-masing.

Negara yang memperoleh kelayakan terus ke pusingan kedua berdasarkan pencapaian pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2008 Beijing ialah Korea Selatan, Korea Utara, Australia, China, Jepun, Iraq, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Syria, Lubnan, Uzbekistan dan Vietnam.

Skuad kebangsaan, di bawah bimbingan Ong Kim Swee, melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0 selepas menang perlawanan 2-0 di Stadium Shah Alam pada 23 Feb lalu dan seri tanpa jaringan pada perlawanan timbal balik di Stadium Punjab, Lahore, pada 9 Mac lalu.

Malaysia kali terakhir layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya tersebut kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

Dalam undian pusingan kelayakan Piala Dunia, skuad bimbangan K.Rajagobal akan mengetahui lawannya pada pusingan pertama dan kedua.

Malaysia tidak pernah layak ke Piala Dunia semenjak menyertai pusingan kelayakan pada 1974.

Artikel Berikut

Artikel Lain