suria

Akademi Pengurusan Golf Dirancang Untuk Dibangunkan Tidak Lama Lagi

SINTOK: Kementerian Belia dan Sukan akan melancarkan akademi kemahiran pengurusan golf bagi memajukan lagi industri sukan golf dan melatih tenaga kerja tempatan dalam industri itu, tidak lama lagi.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA), di Bukit Kiara, dipilih sebagai tempat untuk dibangunkan akademi itu.

Katanya akademi itu akan melahirkan tenaga kerja yang profesional dalam memajukan lagi sukan golf dalam negara memandangkan sukan golf kini sudah menjadi satu industri yang pesat berkembang. "Industri sukan golf mampu mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan akademi ini akan melatih anak-anak tempatan untuk menjadi tenaga kerja terlatih seperti kedi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Sukan Trek dan Padang Sukan Universiti Utara Malaysia (SUKUUM) 2011 di sini malam Rabu.

Beliau berkata pihak kementerian mungkin boleh menjadikan Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai rakan kongsi untuk akademi itu memandangkan UUM dipilih sebagai pusat kecemerlangan sukan golf bagi universiti-universiti.

Sementara itu Ahmad Shabery berkata dengan kemudahan sukan yang disediakan kerajaan di institusi-institusi pengajian tinggi awam ketika ini, tiada lagi alasan untuk mengatakan universiti tidak boleh melahirkan atlet-atlet bertaraf antarabangsa.

Katanya sistem di universiti sekarang juga membolehkan para pelajar mengembangkan bakat mereka dalam sukan jika mereka menggunakan sepenuhnya kemudahan sukan di universiti yang dianggap terbaik.

"Tidak perlu obses untuk melihat kepada ranking dalam sukan universiti kerana apa yang penting adalah untuk melahirkan atlet ternama dan atlet berprestasi tinggi daripada kalangan pelajar," katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak dalam ucapannya pada majlis itu berkata pihaknya memohon untuk menaik taraf padang golf di universiti itu daripada sembilan lubang kepada 18 lubang bagi membolehkan ia mencapai sasaran untuk menjadi pusat kecemerlangan sukan golf bagi universiti-universiti.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain