suria

A. Sasar Pendahulu Pusingan Kelayakan Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: A. Sasar, yang mencatatkan 72 pukulan, mendahului pusingan pembukaan Terbuka Malaysia 2011 kelayakan kebangsaan yang diadakan di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) di sini, Rabu.

Pusingan kelayakan menyaksikan 54 pemain profesional tempatan, beraksi untuk merebut lima tempat dalam Terbuka Malaysia, yang akan diadakan di venue sama dari 14 hingga 17 April.

"Keadaan padang memberi cabaran untuk membuat pukulan dengan baik. Namun pukulan leret, pendek serta chipping saya baik. Saya berpuas hati dengan permainan itu," kata Sasar, 38, selepas menamatkan permainannya.

Sasar memulakan permainan dengan tiga pukulan birdie dan dua pukulan bogey dalam sembilan lubang kedua dan juga sembilan lubang pertama.

Dia melakukan tiga pukulan bogey berturut-turut pada lubang ke-11, ke-12 dan ke-13 tetapi membaiki kedudukan dengan dua pukulan birdie pada dua lubang terakhir.

"Saya berharap dapat mengekalkan tahap permainan saya dalam pusingan akhir esok," katanya.

Mengekori dengan satu pukulan adalah Mohd Nazri Mohd Zain dengan keputusan satu atas par 73 manakala Kemarol Baharin dan Nicholas Pua terikat dalam kedudukan ketiga dengan pukulan dua atas 74. Kelayakan kebangsaan menawarkan lima tempat bagi edisi ke-10 Terbuka Malaysia Maybank yang akan menyaksikan 16 pemain profesional tempatan dan enam amatur bersaing dengan beberapa pemain terbaik dunia bagi kejohanan yang menawarkan hadiah bernilai US$2.5 juta (kira-kira RM8 juta).

KEPUTUSUAN PUSINGAN PERTAMA:

72 - A. Sasar

73 - Mohd Nazri Mohd Zain

74 - Kemarol Baharin, Nicholas Pua

75 - R. Nachimuthu, Shawn Liew Hoa Yan, Rashid Ismail

76 - P. Paramaswaran, Jason Voon Chin Kit, Mohamad Hanafiah Mohd Jamil

77 - Chan Soo Keong, Akhmal Tarmizee Nazari, Anis Helmi Hassan, S. Murthy, Shaifulbari Muda.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain