suria

Adakah Pelumba Malaysia Dapat Juarai LTdL 2011?

LANGKAWI: Sejak diperkenalkan pada 1996, perlumbaan berbasikal jelajah, Le Tour de Langkawi (LTdl) dari mula lagi berjaya menarik perhatian dunia luar dengan pembabitan pasukan handalan dunia.

Biarpun status perlumbaan ketika itu rendah iaitu 2.6 dalam kalendar perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) namum penganjuran yang cemerlang setiap tahun telah membolehkan LTdL mendapat pengiktirafan status 'Hors'.

Pengiktirafan UCI itu telah mendatangkan banyak manfaat khususnya kepada penganjur dan pelumba negara yang mendapat peluang mengukur kemampuan dengan bersaing bersama kelab profesional dan pasukan benua dari Eropah.

Walaupun LTdL memasuki edisi ke-16 tahun ini namum prestasi dan pencapaian pelumba tempatan belum dianggap membanggakan.

Matlamat utama penganjuran LTdL adalah untuk meningkatkan kegiatan pelancongan menerusi sukan dan memberi peluang kepada pelumba tempatan dan Asia bersaing dengan pelumba handalan dunia.

Bagaimanapun, hasil daripada perlumbaan tahunan itu ialah apabila skuad kebangsaan dinobatkan juara Asia pada edisi 1999 dan kemunculan Anuar Manan sebagai Raja Pecut dan pemenang peringkat kelima tahun lepas.

Anuar ketika itu bersama pasukan Geumsan Ginseng Asia dari Korea Selatan.

Peminat sukan tempatan sudah pasti akan mengharapkan kejutan daripada pelumba tempatan apabila kayuhan sejauh 1,315.4 kilometer menerusi 10 peringkat perlumbaan bermula di sini, Ahad ini.

Kerisauan sama ada pelumba tempatan menonjol kali ini turut menghantui fikiran bekas pelumba negara Musairi Musa.

Beliau menyifatkan dua peringkat pendakian di Cameron Highlands pada Rabu depan dan Genting Highlands pada hari berikutnya akan menggugat prestasi pelumba tempatan.

Musairi Musa berkata dengan corak laluan yang dilakarkan oleh penganjur kali ini akan menyukarkan pasukan kebangsaan untuk mengulangi pencapaian gelaran juara Asia 1999. "Pendakian puncak tinggi secara berturut-turut ini mungkin sedikit sebanyak akan menggugat prestasi pelumba negara. Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada strategi jurulatih untuk menghadapi dua peringkat pendakian itu," katanya.

Musairi, 38, adalah antara pelumba dalam pasukan kebangsaan yang berjaya meraih kejuaraan Asia pada edisi keempat perlumbaan LTdL pada 1999.

Selain Musairi, turut serta dalam pasukan berkenaan ialah Nor Effandy Rosli, Tsen Seong Hoong, Shahrulneeza Razali, Suhaimi Keton dan Mohd Mahadzir Hamad.

Katanya komitmen dan kerjasama sepasukan adalah penting untuk Anuar mengekalkan jersi Hijau selaku Raja Pecut kali ini.

Kejohanan kali ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah hampir RM1 juta dan perlumbaan akan bermula di sini dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 1 Februari. - BERNAMA

Artikel Berikut

Beregu Utama Negara Kecundang

Artikel Lain