suria

Tujuh Muka Baru Perkuat Skuad Bola Sepak Pahang Musim 2011

KUANTAN: Pasukan bola sepak Pahang menampilkan tujuh muka baru dalam senarai pemainya bagi merealisasikan sasaran untuk merebut sekurang-kurang satu kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Mereka terdiri daripada R. Surendran dan Mohd Zaiza Zainal Abidin yang sebelum ini beraksi untuk Selangor, Narulerwan Makmor dan Munir Amran (Felda United), Mohd Faizol Hussain (Johor), Muhd Suffian Ab Rahman Kungi Raman (Sarawak) dan Mohd Alafi Mahmud (Selangor PKNS).

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Datuk Dr Omar Othman berkata beliau yakin dengan kebangkitan semula pasukan Pahang hasil kombinasi majoriti pemain-pemain muda dalam penyusunan jentera baru untuk musim 2011.

"Saya yakin kebanyakan barisan pemain Pahang yang merupakan anak muda berumur dalam lingkungan 20an ini yang mempunyai semangat juang yang cukup tinggi," katanya ketika ditemui di sini, Jumaat.

"Kekuatan pasukan didikan Ketua Jurulatih Dollah Salleh itu dapat disaksikan melalui beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini yang menyaksikan Pahang berjaya menumpaskan pasukan T-Team 3-2, Pos Malaysia 2-1, Polis 3-0, dan ATM 4-1, sebelum tumpas tipis kepada juara bertahan Liga Super Selangor 2-1," tambahnya.

Pahang pernah muncul juara Piala Malaysia pada tahun 1983 dan 1992 dan muncul pasukan pertama merangkul Piala Super yang mula diperkenalkan pada 2004, dan sebelum itu skuad Tok Gajah tersebut pernah menjulang piala Liga Perdana sebanyak empat kali iaitu pada tahun pada 1987, 1992, 1995 dan 1999, selain mengungguli Piala FA pada 2006.

Dr Omar berkata pengurusan PBNP yakin ketua jurulatih Dollah Salleh dan penolong jurulatih Zainal Abidin Hassan akan dapat mengembalikan kegemilangan skuad Tok Gajah itu.

Mengenai kehadiran penonton pula katanya, kejayaan skuad Malaysia muncul juara kali pertama Piala AFF Suzuki baru-baru ini dijangka memberi kesan kepada sokongan peminat bola sepak tempatan kepada Liga Malaysia.

"Kami yakin penonton akan kembali membanjiri Stadium Darul Makmur bagi memberi sokongan padu kepada pemain-pemain dan sokongan padu mereka juga antara penyumbang untuk Pahang kembali mencipta kejayaan," katanya.

Pahang akan menerima kunjungan Perlis untuk perlawanan pembuka tirai Liga Super pada 29 Januari ini. - BERNAMA

Artikel Lain