suria

Kayuhan Kuning Bermula Menjelang LTdL 2011

KUALA LUMPUR: Penganjur perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) telah memulakan program pra-acara LTdL 2010 iaitu perlumbaan 'Kayuhan Kuning' bagi mendekatkan rakyat dengan perlumbaan berprestij itu yang bermula 23 Januari ini.

Ketua Pegawai Operasi LTdL Mohamed Salleh berkata perlumbaan sehari itu diadakan beberapa lokasi yang menjadi venue permulaan atau penamat untuk peringkat perlumbaan LTdL.

"Pada 26 Disember lepas kita adakannya di Melaka dan ia turut disertai Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Mohd Ali Rustam)," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Selepas Melaka, acara ini akan diadakan di Sitiawan, Perak pada Sabtu ini dan diikuti Cameron Highlands, Pahang (9 Jan); Butterworth, Pulau Pinang (15 Jan); Nilai, Negeri Sembilan (16 Jan); Pulau Langkawi, Kedah (22 Jan); Putrajaya (28 Jan) dan Kuala Lumpur (1 Feb).

Mohamed berkata semua persiapaan menganjur perlumbaan LTdL 2010 sudah siap dan kini memperhalusi semua peringkat perlumbaan.

"Semua negeri yang bakal dilalui pelumba-pelumba pada LTdL kali ini sudah bersedia. Minggu depan, kita akan adakan perbincangan akhir dengan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah," katanya.

Perlumbaan yang mengandungi 10 peringkat perlumbaan sejauh 1,315.4km melibatkan negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan serta Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Perlumbaan berprestij yang mendapat status Hors (Hors Classe) oleh Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Mohamed berkata pihaknya akan menggunakan khidmat sejumlah 1,125 orang sukarelawan bagi melicinkan perjalanan penganjuran kali ini.

Peringkat perlumbaan LTdL 2011:

Peringkat 1 - Langkawi (94.3km)

Peringkat 2 - Kangar - Butterworth (145km)

Peringkat 3 - Taiping - Sitiawan (144.9km)

Peringkat 4 - Ayer Tawar - Cameron Highlands (137.6km)

Peringkat 5 - Tapah - Genting Highlands (124.3km)

Peringkat 6 - Rawang - Putrajaya (107km)

Peringkat 7 - Banting - Tampin (149.5km)

Peringkat 8 - Kuala Pilah - Jasin (156.5km)

Peringkat 9 - Melaka - Nilai (151.7km)

Peringkat 10 - UiTM Shah Alam - Kuala Lumpur (104.6km)- BERNAMA

Artikel Lain