suria

BAM Mahu Dengar Penjelasan Misbun Sebelum Keluarkan Kenyataan

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu mendengar penjelasan dari mulut Datuk Misbun Sidek sendiri berhubung peletakan jawatannya sebagai jurulatih perseorangan badminton negara, kata Pengurus Besar BAM Kenny Goh.

Beliau berkata mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat selepas Presiden BAM Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh pulang dari luar negara bagi mendengar penjelasan Misbun serta berbincang mengenainya.

Katanya BAM akan mengeluarkan kenyataan rasmi melalui Nadzmi selepas mendapatkan penjelasan tersebut.

"Buat masa ini masih terlalu awal bagi BAM untuk membuat sebarang komen dan lebih elok perkara ini dibawa ke mesyuarat dalaman bersama Misbun untuk mendapatkan penjelasan terperinci bagi mengenali punca sebenar beliau bertindak demikian," katanya kepada Bernama, Isnin.

Sehubungan itu beliau meminta spekulasi berhubung peletakan jawatan Misbun dihentikan.

Goh yang secara peribadi terkejut dengan surat peletakan jawatan Misbun itu bagaimanapun berharap ia dapat diselesaikan sebaik mungkin agar tigak menggugat prestasi skuad badminton yang tersenarai dalam program "Road To London 2012".

Sebuah akhbar semalam melaporkan bahawa Goh telah mengesahkan Misbun meletakkan jawatan menerusi e-mel kepada pejabat BM bertarikh 31 Disember lepas.

Surat itu tidak menyatakan alasan Misbun mahu meletakkan jawatan.

Goh berkata dengan ketiadaan Misbun, tugas melatih Datuk Lee Chong Wei akan digalas seorang lagi jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock, bagi menghadapi Kejohanan Super Series Masters Finals di Taiwan bermula Rabu ini.

"Kebetulan kejohanan Super Series kali ini adalah di bawah kendalian Tey. Sebelum ini, dalam kejohanan-kejohanan tertentu, pemain-pemain akan dikendalikan oleh Misbun dan Tey," katanya.

Meskipun tanpa kehadiran kelibat musuh tradisinya Lin Dan dari China pada kejohanan tersebut, Chong Wei mempunyai misi tersendiri untuk mempertahankan kejuaraan untuk kali ketiga.

Pemain perseorangan China yang menyertai kejohanan itu ialah Chen Long dan Du Pengyu.

Menurut Goh walaupun peluang Chong Wei untuk menjuarai kejohanan tersebut cerah tetapi beliau percaya persaingan yang bakal dihadapi beliau adalah amat sengit.

Selain Chong Wei, turut menggalas cabaran negara di kejohanan tersebut ialah bergu nombor satu negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong. - BERNAMA

Artikel Lain