suria

Jangan Ghairah Dengan Tawaran, Pergi Jika Berbaloi, Kata Ahmad Shabery

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini menasihatkan pemain bola sepak negara yang kini 'dipinang' kelab luar negara, agar hanya menimbang tawaran yang dapat meningkatkan kecemerlangan mereka.

Beliau berpandangan tawaran pasukan hebat seperti dari Korea Selatan dan Jepun wajar diterima kerana langkah itu mampu meningkatkan prestasi pemain terbabit.

"Saya yakin dalam membuat keputusan nanti, pemain negara mampu membuat penilaian yang sewajarnya dan tidak ghairah dengan tawaran lumayan yang diterima," katanya kepada pemberita, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa pemain kebangsaan seperti Mohd Safee Sali, Amirulhadi Zainal dan Norshahrul Idlan Talaha yang dilaporkan menjadi buruan kelab Indonesia setelah pasukan Harimau Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki 2010.

Sebelum itu, Shabery menyerahkan Jalur Gemilang kepada delegasi pengakap Malaysia yang akan menyertai Persidangan Pengakap Dunia di Brazil.

Presiden Pasukan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh pula menasihatkan pemain kebangsaan agar tidak terlalu ghairah dengan tawaran hingga menjadi "anak tinggalkan ayah" dan melupakan sumbangan pasukan negeri masing-masing serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Jika ada pemain yang ingin berhijrah atas faktor bayaran tinggi mereka tidak dapat belajar apa-apa yang baru di sana dan dalam masa yang sama mereka juga telah menghampakan harapan seluruh rakyat Malaysia yang telah lama menunggu bintang beraksi dalam Liga Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama.

Peminat bola sepak tempatan, Riduan Said, 35, pula berkata beliau akan berasa kecewa jika pemain kebangsaan sanggup meninggalkan pasukan sendiri semata-mata ingin mencari 'duit lebih'.

"Saya harap pemain kita tidak akan kecewakan rakyat Malaysia kerana kejayaan di Piala AFF Suzuki bukan milik individu sebaliknya ianya adalah merupakan milik seluruh rakyat di negara ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain