suria

AFC Menyumbang Kepada Pembangunan Sukan Bola Sepak Di Malaysia - Najib

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memuji Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kerana memberi sumbangan terhadap pembangunan sukan bola sepak di negara ini, selain di rantau Asia. Beliau berkata sejak penubuhan AFC lebih 55 tahun lalu, sukan bola sepak semakin kukuh bertapak dan berkembang pesat ke seluruh pelusuk rantau itu.

"Saya percaya AFC telah memberikan sumbangan penting terhadap pemupukan pemain berbakat serta meluaskan minat terhadap sukan bola sepak di rantau ini, dan sekalung tahniah perlu diberikan di atas segala usahanya itu," katanya selepas dianugerahkan AFC Diamond Award pada Malam Anugerah AFC 2010 di sini malam Rabu.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib berkata sukan bola sepak di Asia telah berkembang pesat dan kini merupakan antara pasukan yang perlu digeruni.

"Sesiapa yang telah menyaksikan persembahan pasukan Asia pada kejohanan Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan, boleh mengesahkan kematangan mereka sebagai pesaing sebenar sukan bola sepak selepas Jepun dan Republik Korea layak ke pusingan kedua," katanya.

Najib berkata Malaysia telah memainkan peranan penting dalam sejarah AFC, bermula dengan Perdana Menteri pertama negara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang menjadi presiden badan itu pada 1958.

"Tunku Abdul Rahman menyedari kebijaksanaan melabur dalam aktiviti sukan belia dan mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan belia untuk tempoh 20 tahun. "Beliau juga layak diberikan kredit kerana memulakan Pesta Bola Merdeka sempena kemerdekaan negara pada 1957," katanya yang menerima anugerah itu daripada presiden AFC Mohamed Hammam.

Anugerah tahunan itu diberikan kepada individu yang memberikan sumbangan cemerlang terhadap pembangunan dan promosi sukan bola sepak di rantau ini.

Menurut Mohamed, Jawatankuasa Eksekutif AFC telah memutuskan untuk memberi penghormatan kepada Najib berikutan sokongan berterusan beliau kepada badan itu sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri dan kemudian Perdana Menteri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Yamini Sekadar Raih Perak

Artikel Berikut

Artikel Lain