suria

KOAM Minta AAA Tambah Dua Atlet Malaysia Ke Asian All Stars

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (Koam) yang bimbang dengan kekurangan atlet yang layak ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia, akan meminta Persatuan Olahraga Asia (AAA) menambah dua lagi atlet Malaysia ke kejohanan Asian All Stars di New Delhi, India pada 29 dan 30 September ini.

Timbalan presiden Koam Karim Ibrahim berkata sehingga kini seramai lima atlet kebangsaan dipilih oleh AAA untuk beraksi di kejohanan Asian All Stars, salah satu kejohanan kelayakan ke Sukan Komanwel di New Delhi (3-14 Oktober) dan Sukan Asia di Guangzhou (12-27 November).

"Koam berharap AAA akan menerima dua lagi atlet Malaysia yang berpotensi untuk melepasi syarat kelayakan ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Lima atlet olahraga yang dipilih AAA untuk beraksi di New Delhi, September ini ialah S.Mathialagan, Mohd Zafril Zuslaini (800m), Azlan Samsuddin, P.Yuavaaraj (400m) dan Mohd Ajmal Aiman Mat Hasan (110m lompat berpagar).

Karim berkata Koam turut bercadang menghantar Adi Aliffudin Hussin (lontar peluru) dan Mohd Zaiful Zainal Abidin (400m) ke New Delhi bagi memberi lebih peluang kepada atlet Malaysia melepasi had dan masa kelayakan ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Koam agak bimbang dengan jumlah atlet olahraga yang berjaya melepasi syarat kelayakan ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia dan berharap lebih ramai atlet akan melepasi syarat tersebut ketika beraksi di kejohanan Asian All Stars," katanya.

Atlet yang telah melayakkan diri ke Sukan Komanwel ialah Teoh Boon Lim dan Lo Chong Sieng (20km jalan kaki lelaki) dan Lee Hup Wei (lompat tinggi lelaki).

Atlet yang telah menempah tiket ke Sukan Asia ialah Hup Wei, Roslinda Samsu (lompat bergalah wanita) serta Norjannah Hafiszah, Nurul Sarah, Siti Fatimah, Yee Yi Ling dan Cynthia Manghing untuk acara 4x100m wanita.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain