suria

Chen Pertahan Gelaran Malaysia Senior

PETALING JAYA: Juara bertahan Chen Tsang Te dari Taiwan dan Greg Hopkins dari Amerika Syarikat adalah di antara lapan pemain profesional asing yang akan berentap dalam kejohanan Malaysia Senior Pharmaton-Saujana di Saujana Golf & Country Club di Subang mulai 3 hingga 5 Ogos depan.

Chen memenangi kejohanan itu dalam tahun 2007, 2008 dan 2009 dan akan turun bermain bagi gelaran keempatnya.

Hopkins, yang juga ketua pegawai eksekutif Cleveland/Srixon Golf di Amerika dan seorang jelajah profesional dalam Jelajah Senior Eropah, akan membuat kemunculan kedua dalam kejohanan ini.

"Dalam kategori profesional, kami menjangkakan sekitar 30 peserta tempatan dan asing turut serta," kata pengurus pemasaran Boehringer Ingelheim Malaysia Sdn Bhd, Ung Liew Ean kepada pemberita di sini, Selasa.

"Setakat ini, kami menerima beberapa pengesahan awal. Kami menjangka penyertaan yang baik kali ini terutama dari pemain golf senior Malaysia," katanya. Sejak kejohanan sulung pada 1999, empat pemain golf Malaysia telah memenangi trofi dengan Johnny Wong menjadi pemain tempatan terakhir memenanginya pada 2002.

Dalam kategori amatur, Ung berkata para peserta akan bersaing bagi keputusan 10 teratas Gross dan kategori 10 teratas Nett dan juga tiga mata terbaik Nett bagi kategori super senior (berumur 60 ke atas).

Kejohanan terbuka itu akan diputuskan dengan stroke play sepanjang tiga hari yang menawarkan hadiah keseluruhan RM32,000.

Ia terbuka kepada semua pemain golf amatur senior dan profesional berumur 50 tahun dan ke atas dengan handicap USGA bagi 15 dan ke bawah.

Tarikh tutup penyertaan pada 23 Julai. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain