suria

Wilayah Persekutuan Pertahan Pingat Emas Hoki Lelaki

MELAKA: Wilayah Persekutuan mempertahankan kejuaraan acara hoki lelaki bagi kali keempat berturut-turut menewaskan tuan rumah Melaka 1-0 pada perlawanan akhir Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka di Bukit Serindit di sini malam tadi.

Bagi acara akhir hoki wanita pula yang diadakan sebelum perlawanan akhir hoki lelaki, Johor mengejutkan penyandang juara Pahang bagi merangkul pingat emas dengan kemenangan penalti 4-2 setelah kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Mohd Syamin Mohd Yusof, 18, pemain projek 2013 muncul wira pasukan Wilayah Persekutuan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-64 setelah menampan bola dari satu pukulan penalty corner yang dirembat oleh ketua pasukan Wilayah Persekutuan, Muhamad Razie Abd Rahim.

Dalam permainan seimbang, tuan rumah yang kali pertama mara ke peringkat akhir dalam acara ini turun sebagai pasukan pilihan setelah mengalahkan Wilayah Persekutuan 5-1 dalam persaingan peringkat kumpulan.

Namun, empat pukulan penalty corner gagal dimanafaatkan sementara Wilayah turut mendapat empat penalti corner.

Lebih 3,000 penyokong tuan rumah membanjiri setiap sudut stadium yang mengharapkan Melaka melakar kemenangan kali pertama acara hoki.

Pengurus pasukan Wilayah Persekutuan S. Samson ketika ditemui pemberita berkata tekanan lebih berpihak kepada tuan rumah untuk memenangi perlawanan setelah kekalahan Wilayah Persekutuan pada perlawanan kumpulan.

"Anak buah saya mempamerkan komitmen yang tinggi yang akhirnya membuahkan hasil kejayaan," katanya.

Mohd Syamin turut muncul sebagai pemain terbaik perlawanan akhir sementara penjaga gol Melaka, Mohd Harfizi Baharom dipilih sebagai penjaga gol terbaik.

Pulau Pinang memperolehi pingat gangsa setelah menewaskan Perak 4-3 menerusi pukulan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 3-3 setelah masa tambahan.

Bagi hoki wanita, Terengganu mendapat pingat gangsa setelah menewaskan Pulau Pinang 5-2. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain