suria

Sukan Akan Dijadikan Agenda Utama Pembangunan Negara

MELAKA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sukan akan dijadikan sebahagian daripada agenda utama pembangunan negara kerana ia memberi banyak faedah kepada rakyat dan negara.

Beliau berkata kerajaan akan memastikan sukan bukan kegiatan pinggiran, sebaliknya menjadi satu kegiatan utama negara.

"Saya percaya kejayaan dalam sukan boleh memberi banyak faedah kepada negara, industri sukan, imej sebagai sebuah negara dan kepada diri kita sebagai seorang individu," katanya semasa berucap menyempurnakan majlis penutup Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13 Melaka di Stadium Hang Jebat di sini, malam tadi.

Pada temasya 10 hari itu, juara bertahan Terengganu dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukma ke-13 setelah berjaya memperoleh 47 pingat emas, pingat emas terbanyak mengatasi 14 kontinjen lain.

Turut hadir pada majlis penutup penuh warna warni itu, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Berucap di hadapan kira-kira 50,000 hadirin, Perdana Menteri berkata penglibatan dalam bidang sukan boleh melahirkan modal insan cemerlang dan seimbang daripada segi kerohanian dan fizikal.

Sehubungan itu, beliau mahukan rakyat menjadikan kegiatan sukan sebagai budaya harian mereka.

Katanya sejak Sukma dianjurkan pada 1986, ia menjadi medan untuk melahirkan ramai atlet pelapis untuk negara.

Terdahulu semasa berucap, Mohd Ali berkata sebagai tuan rumah, kerajaan Melaka mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi komitmen tinggi bagi menjayakan temasya itu.

Beliau berkata kerajaan Melaka memberi jaminan untuk mengurus dan menyelenggara dengan baik semua venue selepas berakhirnya Sukma ini dengan mencontohi Florida.

Mohd Ali turut mencadangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan supaya mewujudkan akademi sukan di setiap negeri bagi melahirkan lebih ramai atlet kebangsaan dan Melaka sedia menawarkan diri untuk menjadi negeri pertama menubuhkan akademi itu.- BERNAMA

Artikel Lain