suria

Wilayah Persekutuan Rangkul Emas Acara Dressage Berpasukan

MELAKA: Skuad ekuestrian Wilayah Persekutuan merangkul emas kedua hari ini selepas memenangi acara dressage berpasukan di Pusat Ekuestrian Hang Jebat di sini.

Semalam pasukan endurance mereka memenangi pingat emas dalam acara endurance berpasukan.

Wilayah Persekutuan yang diwakili Natalya Aira Wah Idris dengan kudanya 'My Wish', Haris Zulhkiple (Rosemary), Raja Alicia Raja Amin (Vivaldi) dan Cheyene Sonya Stephanie Benta (Iliade De Balme) mengumpul 192.27 mata untuk meraih pingat emas.

Pingat perak dimenangi Melaka yang mengumpul 180.68 mata dan gangsa dimenangi pasukan Selangor dengan 178.41 mata.

Sementara itu, Natalya Aira, anak gadis komposer terkenal Datuk Wah Idris, menjadi tumpuan ramai di arena itu dengan persembahan menarik yang menyaksikan pelajar berusia 14 tahun tersebut mengutip mata tertinggi dengan 67.05.

"Secara keseluruhannya persembahan hari ini sangat baik. Kuda saya juga berada dalam keadaan baik. Saya sangat gembira dengan pencapaian saya hari ini," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui agak bimbang ketika memulakan persembahan kerana kudanya agak takut-takut sebelum ini apabila mendengar bunyi muzik.

"Tapi hari ini kuda saya sangat bagus," katanya.

Natalya Aira yang menceburi acara itu sejak tiga tahun lepas juga berharap Sukma kali ini akan membuka peluangnya untuk mewakili negara dalam sukan ekuestrian.

Selepas mencatatkan mata tertinggi hari ini, Natalya Aira berharap mengulangi kejayaannya dalam acara dressage individu esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain