suria

Fitri Mahu Kekal Rekod Cemerlang

PASUKAN Modenas akhirnya berjaya memecah penguasaan Yamaha dalam kategori Wira menerusi kehebatan pelumbanya, Mohd Fitri Ashraf Razali.

Menyedari kemampuan yang ada padanya,pelumba berusia 16 tahun ini mahu meneruskan rekod cemerlang itu pada Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai hujung minggu ini.

Dia mahu terus menghadiahkan kejayaan kepada penajanya selain tekad untuk mengekalkan reputasinya sebagai juara.

Pelumba pasukan Caviaga Cilik Racing ini menghadiahkan kemenangan yang amat bermakna kepada Modenas dan yang pertama buatnya pada saingan Pusingan 2 di Kluang, Johor sebelum ini.

Musim lalu, saingan bagi kategori Wira Bawah 17 tahun ini dikuasai oleh Yamaha dengan Mohd Azhar Mohd Jalil dan Mohd Adib Rosley dari pasukan Motul Yamaha YY Pang serta Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Ah Hong) yang terus menerus memenangi setiap perlumbaan.

Selepas mengharungi dua pusingan, Fitri kini berkongsi kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan dengan Azhar,masing-masingnya dengan 41 mata.

Mohd Syawalludin Mohd Zaki (Modenas Forty One Racing) dan Amirul Hafiq Mohd Azmi (MOS Yamaha Racing) pula terikat dengan 33 mata untuk berkongsi kedudukan di tempat ketiga.

Firti yang memulakan kariernya pada tahun 2008, yakin bahawa dia akan terus mempamerkan peningkatan pada setiap pusingan dengan gaya tunggangannya yang semakin mantap.

“Saya rasa, kemahiran saya semakin meningkat, setanding kehebatan juara bertahan, Azhar. Saya mampu menyainginya. Pada perlumbaan pembuka tirai di Alor Setar, saya menamatkan saingan di tempat ketiga dan selepas itu merasai kemenangan sebagai juara di Kluang.

"Saya harus mengucapkan terima kasih kepada mekanik saya yang telah bekerja keras untuk menyediakan jentera yang mampu melontarkan saingan. Mereka sentiasa memastikan jentera saya berada dalam keadaan terbaik sekali gus mampu memberi cabaran kepada pencabar saya," katanya.

Dengan pusingan 3 akan menghala ke litar kegemarannya di utara tanah air, Fitri semakin yakin bahawa ia akan menghadirkan mereka satu lagi kejayaan.

“Saya mengakui bahawa saya memang seronok berlumba di Batu Kawan. Ia memang mencabar kemahiran anda. Ia adalah trek teknikal yang dilengkapkan dengan pelbagai kombinasi. Halangannya memang mencabar dengan pusingan U, pusingan S, lima selekoh kiri, dua selekoh kanan serta laluan lurus," katanya.

Tambahnya, dia berharap agar tuah mengiringinya menjelang perlumbaan di Batu Kawan kelak.

Peminat-peminat sukan pemotoran yang berada di luar wilayah utara tidak akan terlepas peluang menyaksikan perlumbaan terhebat ini.

Mereka boleh menyaksikan perlumbaan itu secara langsung yang akan disiarkan menerusi Saluran 816 Astro Supersports 2 pada hari Ahad (9 Mei) bermula jam 2.30 hingga 4.30 petang.

Untuk maklumat lanjut mengenai perlumbaan ini, boleh hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd di talian 03-87338787 atau layari laman web www.malaysiancubprix.com.

Artikel Berikut

Artikel Lain