suria

Dua Pelumba Catat Masa Terpantas Saingan Ujian Masa Petronas Cub Prix

ALOR SETAR: Dua pelumba dari kategori utama CP130 berkongsi masa terpantas dalam ujian masa perlumbaan Petronas Cub Prix Malaysia AAM 2010 yang berlangsung di litar Stadium Darul Aman, di sini, hari ini.

Peserta dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Raceline, Hafizh Syahrin Abdullah mencatat masa 48.109 saat (s) akan berkongsi kedudukan petak pertama bersama pelumba dari Shell Advance Yamaha Maju Motor iaitu Elly Idzlianizar Ilias yang turut mencatat masa 48.109s.

Kedudukan kedua dalam saingan kategori itu ialah Ahmad Fuad Baharudin dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha AHM yang mencatat masa 48.113s diikuti oleh Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Raceline yang mencatat masa 48.154s dan peserta dari Shell Advance Yamaha Maju Motor, Ahmad Fazli Sham pula mencatat masa 48.233s untuk menduduki tempat keempat.

Sementara itu, dalam kategori CP115, pelumba dari Petronas Sprinta Yamaha Raceline, Md Iskandar Raduan menduduki kedudukan pertama dengan catatan masa 48.647s diikuti pelumba dari Motul Yamaha YY Pang, Md Adli Salihin dengan catatan masa 48.714s manakala Md Rozaiman Md Said juga dari pasukan Motul Yamaha YY Pang mencatat masa 49.279s bagi menduduki tempat ketiga.

Bagi kategori Wira, catatan terpantas dibuat oleh pelumba dari pasukan Motul Yamaha YY Pang, Md Azhar Abd Jalil yang mencatat 50.690s diikuti oleh Md Adib Rosley juga dari pasukan Motul Yamaha YY Pang yang mencatat masa 50.696s manakala pelumba dari pasukan Modenas Forty One Racing, Ahmad Afif Amran menduduki tempat ketiga selepas mencatat masa 51.140s.

Perlumbaan esok bermula pukul 9.30 pagi. - BERNAMA

Artikel Lain