suria

A'Famosa Resort Jamin Padang Golfnya Selamat

KUALA LUMPUR: A'Famosa Golf Resort Berhad di Melaka yang disaman berikutan serangan buaya, hari ini memberi jaminan bahawa padang golfnya adalah selamat.

Pengurus Besar Jabatan Jualan Hartanah dan Pemasaran, Allan Chee memberitahu, pengurusan resort itu tegas dengan pendiriannya iaitu semua pemain golf selamat untuk bermain di padang itu sekiranya mereka mematuhi undang-undang dan peraturan keselamatan yang ditetapkan.

"A'Famosa juga mahu menjelaskan sebarang salah tanggapan iaitu terdapat buaya yang berkeliaran di sekitar padang golf itu.

"Ada seekor buaya dan ia memang sentiasa berada di kawasan yang dinamakan 'Crocodile Course', yang sangat dikenali oleh pemain golf, yang ditempatkan dalam lubuk tiga meter di bawah permukaan tanah dan tidak boleh diakses oleh sesiapa kecuali dengan sengaja masuk dari luar," katanya.

Rabu lepas, A'Famosa Resort bersetuju membayar ganti rugi RM43,000 kepada Hong Kee Siong yang digigit seekor buaya ketika beliau mencari bola golfnya di resort itu sehari sebelum sambutan Tahun Baru Cina, enam tahun lepas.

Peguam pusat peranginan itu, Datin K. Anushiya, memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Harmindar Singh Dhaliwal berhubung urusan penyelesaian tersebut sebelum kes itu dijadual didengar hari itu.

Peguam Keppy Wong Khai Pun, yang mewakili Hong, memberitahu pemberita Harmindar merekodkan penghakiman persetujuan itu dalam kamarnya.

Pada 18 Mei 2004, Hong dari Taman Sungai Besi di sini, memfailkan saman dengan mendakwa beliau diserang dan digigit seekor buaya ketika cuba mencari bola golfnya pada 22 Januari.

Buaya berukuran antara enam dan lapan meter panjang itu juga menggigit kaki kirinya dua kali. Hong berjaya menghentak kepala buaya itu dan meninggalkan tempat tersebut.

Dalam pernyataan pembelaannya, A'Famosa Resort menegaskan bahawa ia telah mengambil pelbagai langkah sewajarnya dengan memberi amaran dan notis secukupnya kepada semua anggota serta pengguna-pengguna awam.

Ia telah memasang papan tanda "Awas" dan notis yang sesuai yang cukup untuk menarik perhatian anggotanya agar mereka berhati-hati terutama semasa berada di kawasan berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain