suria

PTAT Namakan Tujuh Peninju Ke Sukma

KUALA TERENGGANU: Persatuan Tinju Amatur Terengganu (PTAT) telah menamakan tujuh atlet untuk mewakili negeri ke Sukan Malaysia (Sukma) XIII di Melaka dari 10 hingga 19 Jun ini.

Setiausaha PTAT, Razali Mamat berkata, empat daripada atlet itu pernah mewakili negeri pada Sukma Terengganu 2008.

"Kita menyenaraikan sembilan orang atlet pada mulanya, tetapi dua orang tarik diri kerana mahu menyambung pelajaran," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Tujuh atlet itu ialah Mohd Hishamuddin Arif (48kg), Mohd Hassan Salman Zahari (45kg), Mohd Farid Zahari (54kg), Wan Mohd Ridzuan Aziz (57kg), Wan Abdullah Wan Hassan (60kg), Tengku Nasharuddin Tengku Yen (69kg) dan Wan Mohd Afizuddin Wan Hassan (75kg).

Razali yang juga Pengurus Pasukan Tinju Negeri berkata, dalam kejohanan sukan dwi tahunan itu di Terengganu dua tahun lepas, pasukan itu berjaya memperoleh pingat emas melalui Mohd Hassan Salmah (kategori 45kg), Wan Mohd Afizuddin (perak 60kg) dan Tengku Nasharuddin (gangsa 69kg).

Katanya, bagi Sukma kali ini, Terengganu meletakkan sasaran dua pingat emas melalui kategori 51kg dan 57kg.

Razali berkata, PTAT telah membuat persediaan rapi sejak pertengahan tahun 2008 termasuk mengesan peninju-peninju berbakat.

Beliau berkata, selain latihan dalam negeri, PTAT juga menghantar atlet-atlet itu mengikuti latihan di beberapa pusat tinju di Thailand dalam usaha meningkatkan prestasi mereka.

Katanya, latihan seumpama itu akan diteruskan dan pada Mei depan, persatuan akan mengadakan latihan di Bangkok sebagai persiapan terakhir sebelum atlet menghadapi kejohanan sebenar.

Razali berkata, PTAT menggunakan khidmat bekas jurulatih tinju Thailand Adun Pasu untuk melatih atlet Terengganu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain