suria

India Benam Pakistan 4-1 Dalam Perlawanan Peringkat Kumpulan

NEW DELHI: India menewaskan musuh tradisinya Pakistan 4-1 dalam saingan peringkat kumpulan B, Kejohanan Hoki Piala Dunia yang berlangsung di sini semalam.

Dalam perlawanan yang cukup dinanti-nantikan oleh peminat kedua-dua pasukan yang memenuhi stadium, barisan penyerang India yang mempamerkan permainan pantas yang diketuai ketua pasukan Rajpal Singh melorongkan bola kepada Shivendra Singh untuk menyudahkannya dengan baik untuk gol pertama India pada minit ke-28.

Lima minit kemudian Rajpal sekali lagi menjadi penggerak utama di barisan serangan untuk merobek gawang Pakistan dengan menghantar bola dari pukulan sudut penalti yang pantas disempurnakan oleh Sandeep Singh untuk gol kedua India pada minit ke-33 untuk mendahului kedudukan 2-0.

Pemain-pemain muda India mempamerkan aksi memukau yang mana kali terakhir aksi sedemikian dapat disaksikan ketika India mengalahkan Pakistan 3-2 pada perlawanan akhir Hoki Piala Dunia 1975 ketika itu berlangsung di Kuala Lumpur.

Barisan pertahanan Pakistan yang kehilangan punca sekali lagi dihukum pada minit ke-37 kali ini menerusi Prabhjot Singh untuk gol ketiga India.

Bersambung babak kedua, India yang dibimbing jurulatih dari Sepanyol, Jose Brasa sejak setahun lepas terus mendominasi perlawanan dan Sandeep melakar namanya untuk jaringan kedua peribadinya, gol keempat India pada minit ke-50 dengan 'kepakarannya' menyempurnakan satu lagi pukulan daripada sudut penalti.

Pakistan, juara dunia empat kali yang menggabungkan barisan pemain muda dan senior kerap melancarkan serangan namun hampa apabila barisan penyerangnya seperti Rehan Butt dan Shakeel Abbasi gagal menembusi gol lawan.

Pakar pukulan sudut penalti Pakistan, Sohail Abbas akhir memecah kebuntuan gol buat pasukannya pada minit ke-52 dan kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan, India menewaskan Pakistan dengan keputusan 4-1.

Sebanyak 16 pasukan memburu gelaran pada kejohanan kali ini yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Kumpulan A terdiri daripada Jerman, Belanda, Korea Selatan, New Zealand, Kanada dan Argentina, manakala Kumpulan B terdiri daripada Australia, Sepanyol, England, Pakistan, India dan Afrika Selatan.

Berikut adalah keputusan hari pertama Kejohanan Hoki Piala Dunia di New Delhi, India:

Sepanyol (ESP) melawan Afrika Selatan (RSA) 4-2

England (ENG) melawan Australia (AUS) 3-2

India (IND) melawan Pakistan (PAK) 4-1 - BERNAMA

Artikel Berikut

Dua Atlet Malaysia Layak Ke Kona

Artikel Lain