suria

Ferguson Mungkin Turunkan Owen Untuk Buka Peluang Piala Dunia Semula

LONDON: Pengurus Manchester United (Man Utd),Sir Alex Ferguson memberi bayangan yang beliau akan menurunkan Michael Owen dan merehatkan Wayne Rooney dalam perlawanan akhir Piala Carling malam ini menentang Aston Villa.

Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Wembley itu dijangka bermula jam 10.55 malam waktu Malaysia. Ia akan disiarkan secara langsung oleh Astro.

Sambil menyifatkan, ia masih belum terlambat untuk Owen menarik perhatian Fabio Capello agar disenaraikan dalam skuad Piala Dunia England, Ferguson berpendapat, ini adalah masa dan saat yang sesuai untuk pemain nombor 7 itu menunjukkan sentuhannya masih berbisa.

Owen masuk sebagai pemain gantian ketika Utd menentang West Ham Rabu lalu dan seminit kemudian terus menyumbatkan gol.

Dan Ferguson berkata, walaupun Owen tidak berpeluang bermain sebanyak yang dia inginkan tetapi pemain itu tidak kecewa sebaliknya menunjukkan semangat juang yang tinggi.

"Dia telah bermain dengan baik bersama United dan dia telah mengecapi kejayaan malah seorang profesional yang baik," ujar pengurus itu lagi.

Owen katanya tidak pernah ponteng atau gagal hadir dalam setiap sesi latihan dan prestasinya sewaktu latihan sangat tinggi malah kewibawaannya sebagai pemain semakin meningkat sejak dia menyertai pasukan United.

"Saya juga dapati, pemahamannya tentang gerak geri perlawanan bertambah baik dan untuk pertama kali dalam kariernya saya juga dapati dia boleh menerima hakikat bahawa ada kalanya dia terpaksa menjadi pemain gantian.

"Dan dia gembira menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan saya pasti dia akan terus bersama kita menjelang musim akan datang dan saya juga tidak berhasrat untuk melepaskannya," ujar Ferguson.

Satu-satunya masalah Owen kata Ferguson ialah Wayne Rooney kerana Rooney semakin hari menjadi semakin kental dan bagus di barisan hadapan dan amat malang kehadiran Owen bersama United ialah pada ketika seorang lagi penyerang kami iaitu Rooney sedang mempamerkan aksi cemerlang.

Ferguson berkata, untuk perlawanan malam ini beliau terpaksa membuat satu atau dua pengubahsuian dari senarai pemain kerana selepas itu mereka akan menerima kunjungan AC Milan untuk perlawanan kedua pada pusingan 16 Piala Juara-Juara Eropah.

Artikel Sebelum

Spurs, Liverpool Menang

Artikel Berikut

Artikel Lain