suria

Shahrul Akui Gementar Pada Aksi Sulung LTDL

KOTA BAHARU: Pelumba pasukan kebangsaan, Shahrul Mohd Amin mengakui gementar pada aksi pertamanya di perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Berang, Terengganu sejauh 174.5 kilometer yang akan berlangsung esok.

Pelumba berusia 21 tahun itu antara enam pelumba yang dipilih untuk menggalas cabaran pasukan kebangsaan bersama-sama Amir Mustafa Rusli, Mohd Akmal Amrun, Ahmad Fallanie Ali, Mohd Zamri Salleh dan Mohd Nur Ridzuan Zainal.

"Walaupun gementar, saya telah bersedia sepenuhnya dan akan cuba untuk memberikan aksi yang terbaik bagi membantu rakan-rakan yang lain," kata pelumba kelahiran Terengganu itu kepada pemberita di sini hari ini.

Shahrul turut berkeyakinan mereka tidak akan mempunyai sebarang masalah dan kesukaran untuk menempuh perlumbaan dari peringkat pertama hingga ketiga kerana lima daripada enam pelumba Malaysia berasal dari Terengganu.

"Cuma kami perlu berhati-hati pada peringkat pertama dan kedua agar tidak ketinggalan jauh (catatan masa) daripada pasukan lain.

"Tidak mustahil untuk kami melakukan sesuatu yang membanggakan jika mengikut strategi yang dirancang oleh jurulatih pasukan, William Walker," katanya.

Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sebelum ini meletakkan sasaran untuk skuad kebangsaan menduduki tempat ke-12 daripada 20 pasukan yang bersaing.

Sementara itu, LTdL 2010 yang dianjurkan sendiri oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus mendapat kepercayaan syarikat penaja swasta tempatan apabila Azham Zamiri Petroleum & Groups Sdn Bhd yang dimiliki oleh Datuk Azham Zamiri Mohd Satar tampil menjadi rakan penaja terbaru bagi perlumbaan yang memasuki edisi ke-15 ini. Penajaan berjumlah RM60,000 itu untuk membiayai kos petrol konvoi peserta-peserta LTdL 2010 bagi peringkat pertama (Kota Bharu ke Kuala Berang dan peringkat kedua (Kuala Terengganu - Chukai).

Perlumbaan LTdL tahun ini akan membabitkan tujuh peringkat perlumbaan sejauh 1013.9 kilometer menyusuri beberapa negara seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Kuala Lumpur untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai RM710,650. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Spurs, Liverpool Menang

Artikel Berikut

Artikel Lain