suria

Selangor Seri Tanpa Jaringan

SHAH ALAM: Selangor gagal mengutip tiga mata penuh apabila sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan kelab Vietnam, Becamex Binh Duong, pada saingan kumpulan F Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Shah Alam, malam ini.

Walaupun turun dengan sorakan kira-kira 5,000 penyokong sendiri, barisan serangan Selangor yang diketuai Mohd Safee Sali gagal untuk menghasilkan sebarang gol.

Pasukan pelawat sebaliknya yang membariskan tiga pemain import dari Afrika Selatan, Brazil dan Nigeria serta seorang pemain kelahiran Brazil, Kesley Huynh Alves yang telah mendapat kerakyatan Vietnam kerap kali menguji Selangor.

Mereka mempunyai sekurang-kurangnya empat peluang untuk menghasilkan gol namun percubaan-percubaan itu sama ada tersasar atau diselamatkan penjaga gol Selangor, Mohd Hamsani Ahmad.

Pada babak kedua, Selangor yang merupakan juara Piala FA dan Liga Super pada musim lepas, cuba mengasak dengan percubaan Mohd Safee di luar kotak penalti pada minit ke-58 namun sekadar menggegar tiang gol lawan.

Empat minit kemudian, ketua pasukan Selangor, Mohd Amri Yahyah turut berpeluang mencatatkan namanya selaku penjaring setelah keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti namun rembatannya berjaya ditangkap kemas penjaga gol lawan, The Anh.

Peluang terakhir Selangor melalui Mohd Safee juga gagal menerjah jaring apabila cubaan di dalam kotak penalti ditangkap kemas setelah hanya berdepan dengan The Anh untuk keputusan akhir 0-0.

Selangor akan berkunjung ke Stadium Jaka Baring, Palembang di Indonesia untuk perlawanan kedua peringkat kumpulan menentang kelab Sriwijaya F.C, manakala Becamex Binh Duong akan bertemu kelab Maldives, Victory F.C.

Kedua-dua perlawanan akan berlangsung pada 16 Mac ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain