suria

Cuaca Panas Janjikan Cabaran Buat Pelumba LTDL

KUALA LUMPUR: Cuaca panas yang melanda negara ketika ini bukan menjadi penghalang kepada pelumba malah menghiasi cabaran perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 yang bermula 1 Mac ini.

Ketua Pegawai Operasi LTdL, Mohamed Salleh, berkata keadaan cuaca panas bukan merupakan halangan utama kepada pelumba kerana kebanyakan daripada mereka pernah beraksi pada LTdL sebelum ini atau perlumbaan lain di negara ini.

"Keadaan cuaca panas yang sudah diramalkan ini akan memberi cabaran kepada semua pelumba," katanya pada sidang akhbar selepas menerima penajaan bernilai RM125,000 daripada Permanis Sandilands Sdn Bhd (Permanis) di sini semalam.

Selasa lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata cuaca panas yang melanda negara sejak Janurai merupakan fenomena biasa dan diramalkan berakhir bulan depan.

Sementara itu, Penolong Pengurus Pemasaran Permanis, Dinesh Kumar, bahawa syarikatnya akan menaja 2,500 kartun air mineral dan 1,300 kartun air minuman isotonik 'Gatorade'.

LTdL edisi ke-15 dari 1 hingga 7 Mac ini akan bermula dari Kota Baharu dan berakhir di Dataran Merdeka dengan melibatkan tujuh peringkat perlumbaan sejauh 1,013.9km. Sejumlah 120 pelumba dari 20 pasukan termasuk dua pasukan tempatan akan mengambil bahagian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain