suria

Johor Belum Mahu Tekan 'Butang Merah'

JOHOR BAHARU: Walaupun hanya mampu mengutip satu mata daripada lima perlawanan awalnya setakat ini, skuad bola sepak Liga Super Johor enggan menekan "butang merah" kerana berkeyakinan kedudukannya masih boleh diperbaiki.

Pengurus Pasukan, Datuk Abdul Aziz Sapian berkata, pasukan bimbingan Jurulatih Nasir Yusof itu akan terus mengatasi beberapa kelemahan yang dikesan sepanjang lima perlawanan itu.

"Kita akan memastikan ianya tidak berulang pada perlawanan akan datang," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Selepas mengharungi lima perlawanan awalnya, skuad Johor yang hanya mampu mengutip satu mata menerusi keputusan seri dengan Pulau Pinang, kini berada di tangga tercorot Liga Super.

Pada perlawanan semalam, Johor dibelasah 6-0 oleh Selangor. Abdul Aziz, yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Johor (PBNJ) berkata, tidak dapat dinafikan skuad Liga Super Johor tidak mempunyai persiapan cukup kerana beberapa sebab.

Katanya, pentadbiran baru PBNJ yang diketuai oleh anggota exco kerajaan negeri, Jais Sarday, hanya mengambil alih pengurusan skuad kira-kira seminggu sebelum bermulanya kempen Liga Super.

"Ini ditambah pula dengan barisan pemain yang muda yang serba kekurangan dari segi pengalaman," katanya.

Abdul Aziz berkata, Johor sedang menimbang kemungkinan untuk mendaftar beberapa pemain baru, tetapi terpaksa menunggu sehingga Mei depan sebagaimana peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain