suria

Van Der Sar, Ferdinand Legakan Ferguson

MANCHESTER: Kelab Manchester United mendapat berita gembira menjelang pertarungan melawan Burnley di Old Trafford apabila Edwin Van Der Sar dan Rio Ferdinand bersedia untuk beraksi.

Van Der Sar tidak beraksi untuk pasukan itu sejak akhir tahun lalu kerana terpaksa kembali ke Belanda bagi menemani isterinya yang mengalami pendarahan otak dan menjalani pembedahan.

Kini Van Der Sar telah kembali ke pangkuan pasukan itu yang membuatkan Alex Ferguson mampu menarik nafas lega.

"Kami akhirnya seakan melihat satu cahaya dalam latihan kali ini kerana Edwin Van Der Sar telah kembali berlatih. "Keadaannya bagus. Dia terpaksa berundur seketika kerana urusan peribadi tapi ia amat menyenangkan saya bila dia sudah kembali dan ia amat penting bagi kami," katanya.

Sementara itu, Rio Ferdinand yang mengalami masalah kecederaan lutut juga dilihat semakin beransur pulih. Pemain pertahanan berusia 31 tahun itu tampil setelah beraksi kali terakhir ketika Manchester United kecundang di tangan Liverpool Oktober lalu.

Selain Van Der Sar dan Ferdinand, Ferguson juga menerima khabar gembira apabila Owen Hargreaves yang turut mengalami kecederaan lutut telah pulih setelah tidak beraksi selama 16 bulan.

"Kami membawa Ferdinand dan Hargreaves (ke kem latihan di Qatar) dan keduanya mengambil bahagian dalam latihan. Ada perkembangan bagus, khususnya buat Rio yang perkembangannya menggembirakan," katanya.

Kehadiran Van Der Sar dan Ferdinand diharap mampu mengukuhkan lagi barisan pertahanan Manchester United yang sejak kebelakangan ini dilihat goyah.

Tanpa kehadiran kedua pemain itu, Manchester United sering gagal mengekalkan rentak permainan yang mengakibatkan permainan tidak begitu konsisten.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain