suria

Mohd Nadzi Kekal Terajui BAM

SHAH ALAM: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kekal diterajui oleh Datuk Mohd Nadzmi Salleh selaku presiden setelah berlangsungnya mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan itu, hari ini.

Ia sekaligus membolehkan Mohd Nadzmi meneruskan perancangannya sehingga tahun 2013 setelah mula mengambil alih BAM daripada Datuk Dr Abdullah Fadzil Che Wan pada tahun 2000. Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu, Mohd Nadzmi berkata, masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh persatuan itu ke arah meningkat pencapaian pemain negara.

"Pada tahun-tahun mendatang juga masih banyak sasaran yang perlu kita capai selain meningkatkan pencapaian sedia ada," katanya.

Badminton merupakan antara empat jenis sukan yang diletakkan dalam program "Road To London 2012" bagi mencari pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik.

Lapan atlet badminton telah disenaraikan dalam program itu.

Mohd Nadzmi berkata, untuk menjadi kuasa dunia bukanlah sesuatu yang mudah kerana Malaysia mempunyai sejumlah pemain dan sumber kewangan yang terhad berbanding China yang mempunyai kelebihan dalam faktor itu.

"Kita telah menang pingat perak di Beijing (melalui Datuk Lee Chong Wei) pada tahun lepas, dan kita seboleh-bolehnya mahu mempertahankannya namun kita sentiasa mahukan sasaran yang lebih tinggi.

"Malaysia juga bakal menganjurkan kejohanan Piala Thomas pada tahun depan, di mana terdapat harapan tinggi rakyat untuk melihat pemain-pemain kita memenanginya," katanya.

Pada mesyuarat itu, Tengku Kamil Tengku Idris Shah dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baru manakala jawatan Setiausaha Kehormat masih disandang Ganga Rao walaupun pada awalnya beliau berhasrat untuk berundur. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zimbabwe Tumpaskan Selangor 3 - 0

Artikel Berikut

Artikel Lain