suria

Yi Ting Menang Emas Dan Perbaharui Rekod

VIENTIANE: Perenang kebangsaan, Siow Yi Ting mencuri tumpuan kolam renang selepas memenangi emas ketiga peribadinya dan memperbaharui rekod kejohanan yang diciptanya sendiri dalam acara renang 200 meter kuak dada pada Sukan SEA ke-25 yang berlangsung di sini malam semalam.

Yi Ting mencatatkan masa dua minit 30.35 saat untuk mengatasi rekod lama yang diciptanya sendiri dua minit 31.90s.

Bagaimanapun, rekod baru itu sedikit perlahan berbanding rekod kebangsaan yang dipegangnya dalam acara itu iaitu dua minit 27.80s yang dicatatkan pada pusingan awal Sukan Olimpik Beijing tahun lepas.

"Saya mahu berpandangan positif setiap kali saya beraksi, saya telah meletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas sebanyak yang mungkin dan sehingga kini saya sudah memenangi tiga emas dan mahu menang lagi di sini," kata atlet berumur 24 tahun itu.

Selain Yi Ting, Malaysia turut meraih dua lagi pingat perak daripada acara renang menerusi kuartet 4x100 meter berganti-ganti wanita dan Kevin Yeap dalam acara 1,500 meter gaya bebas lelaki.

Kuartet wanita negara walaupun sekadar memenangi perak namun berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan masa empat minit 13.18 saat berbanding rekod lama empat minit 19.33s yang dicatatkan ketika temasya sukan SEA di Korat dua tahun lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain