suria

Tujuh pasukan rebut tiket kelayakan di Piala Monsun

KUALA TERENGGANU: Sebanyak tujuh pasukan termasuk empat pasukan baru akan berentap dalam kejohanan Lumba Layar Asia yang diadakan di Pulau Duyong bermula esok sehingga 12 November ini bagi merebut tiket bertanding dalam kejohanan Piala Monsun Disember nanti.

Dua pasukan tempatan Malaysia Armed Forces 1 yang diketuai pelayar Mohammad Razali Mansor dan pasukan Taring Pelangi yang diketuai Hazwan Hazim akan turut mengambil bahagian dalam kejohanan yang disertai pasukan dari pelbagai Kelab Perahu Layar Asia itu.

Lima pasukan lain yang turut bertanding ialah Slam Match Race Team dari Royal Sydney Yatch Club diketuai Micheal H Dunstan, Team Hong Kong dari Royal Hong Kong Yatch Club diketuai Micheal Dunstan, Team JFP dari Japan Yatch Match Race Association (Kan Yamada), Team EM dari Royal Varuna Yatch Club (Morten Jakobsen) dan Team New Zealand dari Waka Racing (Phil Robertson).

Tujuh pasukan tersebut akan bersaing dalam pusingan awal round robin dan empat pasukan teratas akan bertarung dalam peringkat suku akhir yang mana pertandingan akan dijalankan secara kalah mati.

Pada peringkat akhir, dua pasukan teratas akan beradu untuk menempah tempat bagi bertanding dengan jaguh-jaguh lumba layar dunia di kejohanan Piala Monsun pada awal Disember nanti.

Sementara itu, pelayar negara Hazwan meletakkan sasaran untuk mara sehingga ke peringkat separuh akhir kejohanan itu bagi menimba pengalaman bersaing dengan jaguh-jaguh Asia.

"Kita hanya meletakkan sasaran untuk mara sehingga ke peringkat separuh akhir sahaja kerana kita sedar saingan kita semuanya hebat-hebat belaka," katanya kepada pemberita semasa sesi pengenalan peserta di sini hari ini.

Pelayar muda berusia 21 tahun itu pernah menjadi krew pasukan pelayar wanita muda negara Nurul Ain Md Isa yang mewakili Malaysia dalam kejohanan Piala Monsun tahun lepas dan berharap pengalaman tersebut akan dapat membantunya bersaing dalam kejohanan peringkat Asia itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain