suria

Badminton Remaja Dunia: Malaysia atasi Perancis 5-0

ALOR SETAR: Skuad badminton remaja kebangsaan mencatatkan kemenangan ketiga berturutt-urut selepas mudah menjinakkan Perancis 5-0 dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan Z acara berpasukan campuran pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Stadium Tertutup Sultan Abdul Halim.

Keputusan tersebut mencerahkan peluang Malaysia untuk bergelar juara kumpulan Z untuk mara ke perlawanan penentuan kedudukan 1 hingga 4.

Bagaimanapun, Malaysia perlu menewaskan Jepun dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada jam 6 petang ini sebelum mara ke peringkat selanjutnya.

Mengulas mengenai peluang pasukan negara ketika menentang Jepun, Ketua Jurulatih Beregu, Yap Kim Hock berkata Malaysia mempunyai peluang jika para pemain dapat mengawal permainan dan kurang melakukan kesilapan.

"Jepun adalah lawan yang kuat.

Bagaimanapun, itu bukan masalah besar kerana para pemain kita mula menunjukkan peningkatan berbanding ketika perlawanan menentang Singapura petang semalam.

"Apa yang pasti, saya akan menyenaraikan beregu terbaik bagi mencuri mata daripada lawan dalam perlawanan petang ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan pagi ini.

Sementara itu, dalam perlawanan menentang Perancis, mata sulung Malaysia disumbangkan oleh gandingan beregu campuran Ow Yao Han-Lai Peng Jing yang menundukkan Lucas ClaerboutAudrey Fontaine 21-16,21-12.

Perseorangan utama lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin kemudiannya menjadikan kedudukan 2-0 apabila menumpaskan Thomas Rouxel 21-16,21-15.

Beregu lelaki yang dibarisi Pang Zheng LinGoh Jian Hao pula menyumbang mata kemenangan sesudah menundukkan gandingan Lucas Claerbout-Florian Guathier dengan 21-12,21-14.

Perseorangan perempuan, Tee Jing Yi juga tidak berdepan masalah mengalahkan Marie Maunoury dengan 21-8,21-7 untuk mata keempat Malaysia.

Pasangan beregu perempuan Ong Boon Hui-Ng Hui Ern pula memastikan Malaysia mengutip mata penuh selepas menundukkan gandingan Lauren Meheust-Audrey Fontaine dengan 21-11,21-9.

Keputusan (Pagi) : Group W: China kalahkan Russia (4-1), Indonesia kalahkan Macau (5-0) Group Z: Malaysia kalahkan Perancis (5-0), Jepun kalahkan Kemboja (5-0), Group X: Jerman kalahkan Sri Lanka (3-2), Group Y: Kanada kalahkan Australia (3-1). BERNAMA

Artikel Lain